Lelaki Dalam Video Kenduri Kepala Kambing Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Ditahan Polis

Polis Kedah telah menahan dua orang lelaki bagi membantu siasatan kes video tular berkenaan individu yang mempertikaikan Perintah Kawalan Pergerakan di mana ia memaparkan mereka sedang menikmati kenduri termasuklah makan kepala kambing di sebuah kampung dekat Langgar.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar iaitu ACP Mohd Rozi Jidin, berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihaknya telah berjaya menahan dua orang lelaki itu sekitar jam 5.15 petang Jumaat di kediaman mereka di Langgar.

Difahamkan, salah seorang lelaki terbabit dipercayai merakam video berkenaan manakala seorang lagi dipercayai merupakan penganjur kepada majlis kenduri itu.

Kedua-dua lelaki berkenaan yang berumur antara 45 dan 60 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

“Mereka ditahan dan akan dibawa ke hadapan Majistret esok (Sabtu) untuk dimohon tahanan reman bagi membantu siasatan,” kata Mohd Rozi dalam satu sidang media berhubung sekatan jalan raya di Jalan Tanjung Bendahara pada malam tadi.

Pada masa yang sama, beliau juga turut menyeru orang ramai supaya terus akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 31 Mac ini sepertimana yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

“Pastikan tidak melakukan kerja yang sia-sia, terutamanya memperlekehkan tindakan pihak berkuasa, tidak mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat dengan hantaran yang dibuat di media sosial,” tambah beliau.

Berbalik kepada dua individu yang ditahan tadi, Mohd Rozi mengatakan bahawa hasil ujian saringan awal mendapati kedua-duanya negatif dadah.

Di samping itu, sebuah telefon bimbit turut dirampas polis bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3 (2) (Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit(PPPB) 2020, Seksyen 7(1) PPPB 2020, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Menurut beliau lagi, siasatan juga mendapati bahawa majlis kenduri tersebut diadakan pada Rabu lalu iaitu pada hari pertama PKP dilaksanakan. Ketika itu, jemputan yang hadir adalah sekitar 25 hingga 30 orang, berusia 20-an hingga 30-an dan mereka dipercayai kenalan kepada penganjur kenduri.

Untuk baca artikel lain berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca