#LejenFlix: Tular Video Seorang YouTuber Cuba Agihkan RM10,000 Di Hadapan Istana Negara, Apa Motif Sebenarnya?

Sepertimana yang diketahui sebelum ini, pengamal media yang berkampung di pekarangan Istana Negara mendapat layanan yang amat baik daripada YDP Agong dan juga kakitangan Istana Negara sendiri. Pengamal media diagihkan makanan, minuman dan keperluan yang lain ketika mereka menunggu di hadapan Istana Negara untuk membuat liputan berikutan isu kemelut politik negara. Selain pihak Istana, terdapat juga pihak lain turut mengagihkan makanan dan minuman kepada pengamal media di situ.

Berbeza pula dengan kisah ini, seorang YouTuber iaitu Isa Isarb mencuri tumpuan orang ramai kerana video yang dimuat naik di laman YouTube dan media sosialnya. Video tersebut menunjukkan dia bersama rakan-rakannya pergi ke pekarangan Istana Negara hanya untuk mengagihkan RM10,000 kepada pengamal media dan sesiapa sahaja yang berada di situ.

Sebelum ini, Isa Isarb terkenal dengan cara melakukan video ‘prank’ kepada orang ramai, tetapi kali ini dia membuat satu perkara yang di luar jangkaan. Dia cuba untuk menghabiskan RM10,000 dengan cara memberikan RM1 seorang kepada setiap individu yang berada di hadapan pintu masuk Istana.

Video yang berdurasi tujuh minit 12 saat yang dimuat naik di laman YouTube miliknya sudah mendapat hampir 200,000 tontonan dalam masa dua hari. Pelbagai reaksi yang diberikan oleh warganet. Ramai yang mempersoalkan sebab dan motif dia membuat perkara tersebut.

“Saya nak buat cabaran pergi bagi dan habiskan RM10,000. Saya akan bagi setiap seorang RM1,” kata Isa.

Pada awal video tersebut, kelihatan perbuatannya itu disambut baik oleh pihak yang berada di situ dengan cara menerima agihan RM1 daripadanya. Walau bagaimanapun, cubaan Isa untuk menghabiskan agihan duit tersebut gagal kerana dia dan rakan-rakannya dihalang serta dihalau oleh polis yang bertugas di situ.

Akur dengan arahan dan larangan tersebut, mereka kemudian bertindak untuk beredar dari pekarangan Istana Negara. Setelah mereka meningalkan Istana, mereka menyedari kereta mereka diekori oleh sebuah kereta yang tidak dikenali. Tidak mahu memanjangkan perkara itu, mereka berhenti dan berjumpa dengan individu yang mengekori kereta mereka itu. Individu itu dipercayai pihak berkuasa yang kemudiannya memberi nasihat agar mereka tidak mengulangi perkara yang sama.

“Akhir kata, siapa-siapa yang mentadbir negara atau mendapat kuasa selepas ini, saya nasihatkan jangan buat seperti saya, jangan beli apa-apa guna duit.”

“Buatlah dengan cara jujur dan kurangkan rasuah, anti rasuah,” kata Isa di akhir video.

Tindakan Isa dan rakan-rakannya mengagihkan duit itu menimbulkan bermacam perspektif dan reaksi. Perbuatan itu jika dilihat dari sudut positif, dia ingin memberikan wang tunai kepada pengamal media dan semua pihak yang berada di situ. Pesanannya di akhir video juga boleh diambil kira sebagai nasihat dan pesanan yang positif.

Mungkin niat mereka untuk melakukan perkara itu dengan hanya suka-suka dan sekadar mencabar diri mereka. Ada juga sesetengah pihak beranggapan tindakan mereka itu kurang beretika dan hanya ingin mendapatkan perhatian.

Team Lejen Digital telah pun menghubungi Isa Isarb untuk mendengar sendiri penjelasan daripada pihaknya. Tetapi Isa enggan mengulas dan memberi kenyataan buat masa ini. Dia hanya mengatakan bahawa dia akan membuat penjelasan dan mengeluarkan kenyataan di dalam satu program televisyen pada minggu hadapan. Jadi sama-sama kita nantikan penjelasan daripada pihaknya.

Apa juga motif dan sebab mereka melakukan tindakan, itu mereka sahaja yang tahu. Sebagai kesimpulan, perkara sedemikian diharapkan tidak diulang lagi pada masa akan datang.

Untuk baca atikel lain berkenaan kemelut politik negara, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca