#LejenFlix: Tujuh Hari Di Bawah Matahari, Tampil Kisah Kehidupan Berdepan Endemik

Sudah menjadi tradisi menjelang raya, terdapat banyak program dan drama variasi yang disajikan bagi menyemarakkan sambutan Syawal.

Pengarah Razaisyam Rashid tahun ini tampil dengan sebuah karya iklan filem pendek Raya Astro 2022 yang berjudul Tujuh Hari Di Bawah Matahari.

Filem pendek itu mengisahkan tentang seorang anak muda, Emil yang berdepan pelbagai cabaran selepas dibuang kerja akibat pandemik dan kemudian memutuskan untuk pulang beraya di Perlis dengan menaiki basikal.

Watak Emil yang dilakonkan oleh Nadhir Nasar akan ditemani oleh seekor kucing bernama Borhan sepanjang perjalanannya pulang ke kampung. Dia bertemu dengan pelbagai orang yang banyak memberi pengajaran kepadanya tentang erti kehidupan.

Mengambil elemen-elemen pasca endemik, kisah ini mengangkat mesej perjuangan hidup seseorang yang terpaksa diteruskan walaupun selepas berhadapan waktu sukar ketika COVID-19 melanda.

Selain itu, iklan raya ini memberi kelainan kepada penonton kerana sebelum ini kebanyakan iklan dalam tempoh tiga, lima atau lapan minit sahaja. Oleh itu, iklan filem pendek ini ditayangkan selama 20 minit.

Razaisyam Rashid mahu penonton menikmati jalan cerita yang lebih panjang, jelas, penuh emosi dengan durasi sebegitu supaya semuanya dapat digarap sebaiknya.

“Saya rasa tiada lagi iklan raya yang tunjuk perjalanan, segalanya, dari Kuala Lumpur sampailah ke Perlis. Itu tidak pernah ditunjukkan lagi sebuah road trip. Biasa kita nampak iklan, mungkin ada tunjuk balik kampung.

Tapi perjalanan itu tidak ditunjukkan secara penuh, tapi kali ini kita ada masa panjang. Kita tunjuk semuanya daripada Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Taiping, Teluk Intan, Lumut, Alor Setar, Sungai Petani sampailah ke Perlis,” katanya.

“Saya harap bila penonton tengok filem pendek ini, mereka akan berasakan sesuatu yang bermakna, masuk ke dalam jiwanya. Itu yang saya rasa paling penting harapan saya.

Bila orang tengok, mereka bukan sahaja terhibur tapi mereka boleh belajar sesuatu daripada filem pendek ini dan berikan satu kenangan kepada mereka,” ujarnya lagi.

Filem pendek itu akan ditayangkan di Astro Go pada malam raya sebagai tayangan perdana dan seterusnya ditayangkan serentak di saluran rancangan yang lain seperti Astro Ria, Astro Citra dan Astro Prima pada 3 Syawal.

Untuk baca artikel-artikel lain berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca