#LejenFlix: The Matrix Resurrections, Filem Sambungan Yang Tidak Diperlukan?

Pada penghujung tahun 2021, kita dihadiahkan beberapa filem yang gempak untuk ditonton di pawagam pada bulan Disember. Antara filem yang dinanti-nantikan peminat ialah Spiderman: No Way Home dan The Matrix Resurrections.

Kedua-dua filem ini mempunyai francais yang besar dan juga peminat mereka yang tersendiri dalam dunia perfileman. Apabila keluar sahaja pratonton untuk filem-filem ini, sudah ada ramai peminat yang tidak sabar-sabar untuk pergi menontonnya di pawagam.

The Matrix Resurrections mula ditayangkan pada 22 Disember lalu.

Namun berbeza dengan Spiderman: No Way Home, The Matrix Resurrections kurang mendapat ulasan yang baik daripada penonton serta pengulas filem. Jika anda pergi ke Youtube dan menaip kata carian ‘review The Matrix Resurrections’ anda akan menemui banyak video ulasan yang rata-rata membuahkan rasa agak kecewa dengan filem ini.

Ada sebab mengapa hal ini terjadi, yang paling ketara ialah bagaimana The Matrix Resurrections menjadi seperti salinan semula kepada The Matrix yang pertama walaupun filem ini merupakan sambungan kepada trilogi sebelum ini.

“Keseluruhan babak permulaan filem ini merupakan penciptaan semula, secara literal, mencipta semula adegan pembukaan filem Matrix yang pertama. Saya seperti ‘Oh jadi beginilah filem ini akan jadi?’ sebuah umpan nostalgia,” terang Jeremy Jahns, seorang pengulas di Youtube, mengenai babak permulaan filem.

Filem ini banyak mengulang adegan-adegan yang sama dari filem yang pertama, membuatkan penonton seperti melihat The Matrix yang pertama buat kali kedua.

Walaupun penimbulan nostalgia itu boleh berkesan untuk membuatkan cerita itu lagi menarik, sebagai contoh seperti yang dilakukan dalam Spiderman: No Way Home, namun, The Matrix Resurrections gagal untuk menggunakannya dengan baik dan akhirnya menyebabkan filem ini terasa seperti berulang.

Terdapat banyak adegan dalam The Matrix Resurrections yang menyerupai adegan dalam filem The Matrix yang pertama.

Selain itu, penceritaan The Matrix Resurrections juga sedikit rumit dan sukar untuk difahami. Untuk anda yang belum pernah melihat trilogi sebelum ini, ada kemungkinan besar yang anda akan menghadapi kesukaran dalam memahami filem sambungan ini. Bahkan, mereka yang sudah melihat trilogi sebelum ini juga terasa agak keliru dengan penceritaan filem ini.

“Jalan cerita untuk separuh kedua agak merumitkan. Ya merumitkan! Dah tengok buat kali kedua pun masih tak faham macam mana benda ini boleh wujud? macam mana benda ini boleh ada? Macam mana dia ni boleh jadi muda?” kata Zhaf, seorang pengulas filem Malaysia dalam satu video Youtube yang sudah pun melihat trilogi The Matrix sebelum ini.

Bagaimanapun, jika anda seorang yang suka melihat filem aksi, filem ini masih lagi mampu menawarkan babak-babak aksi yang menarik untuk ditonton. Sinematografi filem ini masih mencapai tahap filem-filem aksi lain di Hollywood yang syok untuk dipandang mata ditambah lakonan yang mantap daripada barisan pelakon yang baik. Cuma penceritaannya dan pengarahannya sahaja agak lemah jika dibanding dengan filem-filem sebelum ini.

Keanu Reeves dan Carrie-Anne Moss kembali lagi untuk membintangi filem keempat The Matrix.

Secara keseluruhan filem ini tidaklah teruk, namun akibat ekspektasi dan pembinaan dunia yang luas hasil daripada filem-filem yang sebelum ini, menyebabkan cerita filem keempat The Matrix ini menjadi agak tidak memuaskan.

“Secara keseluruhan, jujurnya, sebagai seorang yang pernah menonton The Matrix, filem ini (The Matrix Resurrections) mediocre. Ia tidaklah segempak yang disangkakan. Dalam keempat-empat filem The Matrix, bagi saya, filem ini berada di tempat paling bawah,” ulas Zhaf terhadap filem tersebut.

Jadi jika anda ingin memahami ceritanya dengan lebih baik, disarankan untuk anda terlebih dahulu menonton trilogi sebelum ini, sebelum pergi melihat filem ini di pawagam.

Bagi anda yang sudah menonton, apa pendapat anda mengenai filem ini? Adakah ia mencapai tahap ekspektasi yang telah dibina daripada filem-filem sebelum ini?

*Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca