#LejenFlix: Terpengaruh Dengan ‘Breaking Bad’, 4 Penjenayah Ini Tiru Aksi Dalam Drama Tersebut

Dibintangi oleh Bryan Cranston, Aaron Paul dan Anna Gunn, Breaking Bad mengisahkan bagaimana seorang guru kimia bernama Walter White yang turut dikenali sebagai Heisenberg bertukar menjadi pengedar dadah selepas beliau mengetahui dirinya mempunyai kanser paru-paru tahap tiga.

Drama bersiri itu diminati ramai dan pernah menjadi rancangan yang merekodkan jumlah tontonan tertinggi di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, Breaking Bad juga menjadi pengaruh buruk kepada penonton yang cuba meniru semula aksinya.

Kami akan kongsikan empat kisah jenayah berlaku di dunia realiti yang mengambil inspirasi daripada Breaking Bad menerusi artikel ini.

1. Edar syabu

Sumber: CBS Boston

Stephen W. Doran pernah berkhidmat sebagai seorang ahli politik di Massachusetts, Amerika Syarikat. Selepas tidak lagi berkecimpung dalam dunia politik, Stephen kemudiannya bekerja dalam industri perbankan dan juga berkhidmat sebagai guru Matematik di sebuah sekolah di Jamaica Plain, Boston.

Pada Ogos 2012, Stephen telah didiagnosis dengan kanser kulit tahap tiga. Ketika diberkas pada tahun 2013, polis menemui syabu bernilai $50,000 (RM209,325) dan wang tunai sebanyak $10,000 (RM41,865) dalam simpanannya.

Stephen mengaku bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis metamphemthamine (syabu) dan cuci duit pada 31 Mac 2014. Lelaki itu dijatuhkan hukuman tiga tahun di penjara dengan tempoh percubaan (probation) selama dua tahun.

2. Racun ibu sendiri

Kuntal Patel cuba meracun ibunya sendiri menggunakan kaedah yang dilihatnya dalam salah satu episod Breaking Bad di mana Walter memasukkan ricin ke dalam teh musuhnya.

Berasal dari East London di United Kingdom, Kuntal merancang untuk mengambil nyawa ibunya sendiri selepas wanita itu memisahkan pereka grafik itu daripada tunangnya. Tidak berhenti di situ, ibunya juga dipercayai sering memukul dan memalukan Kuntal.

Atas sebab itu, Kuntal mula melayari dark web untuk mencari racun seperti risin tetapi dia menemui bahan yang lebih beracun daripada itu. Ibu Kuntal bagaimanapun bernasib baik kerana terselamat daripada cubaan bunuh itu. Pereka grafik itu telah ditahan dan dihukum di bawah Akta Senjata Biologi 1974.

3. Lupus jasad

Jason Hart telah mencekik leher teman wanitanya iaitu Regan Jolley sehingga wanita itu menghembuskan nafas terakhir. Jason kemudiannya cuba melupuskan jasad Regan dengan menyimpannya di dalam tong plastik berisi asid hidrofluorik.

Selain menemui jasad Regan di kediaman Jason, polis turut menjumpai episod Breaking Bad yang memaparkan Jesse Pinkman (Aaron Paul) dan Walter White (Bryan Cranston) melupuskan jasad dengan cara yang sama masih berada dalam DVD player lelaki tersebut.

Rakan serumahnya memberitahu polis bahawa Jason adalah penagih syabu dan begitu meminati Breaking Bad. Polis percaya Jason meniru babak dalam drama bersiri berkenaan untuk melupuskan jasad mendiang teman wanitanya.

Mujurlah babak dalam drama itu membesar-besarkan kesan asid hidrofluorik pada jasad. Walaupun jasad Regan ditemui dengan kesan melecur dan terbakar, pihak berkuasa masih boleh kenal pasti identiti beliau.

Jason yang mendakwa bahawa dia menderita penyakit PTSD hanya dijatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun atas jenayah yang dilakukannya.

4. Profesor syabu

Dua orang profesor kimia di Universiti Negeri Henderson di Arkansas, Amerika Syarikat telah ditahan pada tahun 2019 kerana menghasilkan syabu di makmal universiti tempat mereka mengajar.

Kegiatan Terry David Bateman dan Bradley Allen Rowland terbongkar selepas pusat sains di kampus itu terpaksa ditutup kerana laporan terdapat bau yang kurang menyenangkan. Para pelajar turut mendakwa terasa mual dan pedih pada mata.

Selepas ujian dilakukan, pihak polis mendapati bau kurang menyenangkan itu berpunca daripada kerja pemprosesan syabu di salah sebuah makmal di pusat sains tersebut.

Disebabkan masalah seperti ini, Heisenberg memilih untuk menghasilkan syabu di dalam recreational vehicle (RV) yang jauh dari orang ramai.

*Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca