#LejenFlix: Tayangan Pertama Di Pawagam Malaysia, ‘Prebet Sapu’ Kira Detik Tontonan Dengan Trailer Rasmi

Filem berjudul Prebet Sapu arahan sulung pengarah Muzzamer Rahman bakal ditayang seluruh Malaysia secara rasminya pada 16 Disember ini. Ia merupakan terbitan syarikat produksi Le Mediator Studio, Kristal Azmir Sdn. Bhd. dan Konda Kondi Studio.

Meskipun ini merupakan pertama kalinya filem yang berkonsepkan hitam putih ini melanda panggung Malaysia, namun ia telah pun membuat tayangan di khalayak umum di pelbagai festival filem antarabangsa sejak tahun 2020.

Antaranya termasuklah Udine Far East Film Festival di Itali, Jogja-Netpac Asian Film Festival (JAFF) di Indonesia, Toronto Reel Asian Film Festival di Kanada, Asian Film Festival Barcelona di Sepanyol, dan Innovative International Film Festival di India.

Awal November tahun ini, Prebet Sapu melakar sejarah apabila ia dipilih oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk mewakili negara bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik (Best International Feature Film) di Anugerah Akademi (Oscars) ke-94 di Los Angeles, Amerika Syarikat yang dijangka berlangsung pada Mac 2022.

Prebet Sapu atau judul dalam bahasa Inggerisnya, ‘Hail, Driver!‘ memakan belanja sebanyak RM500,000 dan dibintangi oleh barisan pelakon hebat negara iaitu Amerul Affendi, Mei Fen Lim, Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Nadiya Nisaa, Chew Kin Wah, Jay Iswazir, Anas Ridzuan and Roslan Madun.

Image
Image
Coretan adegan dalam filem Prebet Sapu. (Sumber: Twitter)

Ia mengisahkan tentang kehidupan Aman (Amerul Affendi) yang mencari makan di Kuala Lumpur sebagai pemandu prebet sapu dan pertemuannya dengan Bella (Mei Fen Lim), seorang gadis ‘escort’ yang memberikan Aman tempat tinggal sementara di rumahnya.

Pengarahnya, Muzzamer berkata, filem Prebet Sapu dihasilkan dalam format hitam putih kerana watak utamanya, Aman, adalah seorang lelaki buta warna.

Berbaki kurang dari sebulan sebelum tayangan perdananya di Malaysia, Prebet Sapu telah mengeluarkan trailer rasmi filem pada hari ini, 27 November di platform rasmi Instagram (@prebetsapufilm) dan Facebook (@PrebetSapuFilm).

Tonton trailer penuh di bawah:

Nantikan perasmian tayangan filem Prebet Sapu arahan Muzzamer Rahman di pawagam seluruh negara pada 16 Disember 2021 ini!

Klik pautan di bawah untuk baca artikel-artikel berkaitan:

Artikel Lain Untuk Di Baca