“Adakah kau pelik? Adakah kau gusar? Yang jadi pemimpin kamu, seorang yang tidak baik. Ibarat syaitan dinobatkan sebagai pembesar,” petikan ini diambil daripada filem Daulat.
Sebuah filem genre political thriller arahan Imran Sheikh, yang membuatkan penonton berasa tidak senang duduk melihat percaturan politik kotor dan perebutan kuasa yang ditonjolkan tanpa sebarang penapisan.
Setelah mengalami kekalahan dalam pilihan raya umum, Presiden MUNA, Hassan mengambil keputusan untuk melantik Suri, anak didik politik beliau sebagai Timbalan Presiden parti. Suri, dilihat sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan matlamatnya tercapai, termasuklah memastikan MUNA memenangi kembali pilihan raya umum seterusnya walau dengan apa jua cara sekalipun.
Filem ini dilakonkan oleh Vanida Imran, Rashidi Ishak, Tony Eusoff, Jalaluddin Hassan, dan Amar Asraf yang cukup memberi impak dalam keberkesanan mereka membawa watak setiap ahli politik.
Dengan hanya mengambil masa selama 14 hari penggambaran dengan bajet sebanyak RM500,000. Filem ini telah berjaya meraih populariti dalam kalangan warganet sewaktu hari pertama tayangan di Iflix secara percuma pada 6 April yang lalu.

Dikatakan, pada mulanya filem ini akan ditayangkan di panggung wayang namun untuk mengelakkan ia ditapis oleh Lembaga Penapis Filem pihak produksi telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan niat itu.
Filem ini dibuat pada tahun 2019 sebelum berlakunya krisis politik di Malaysia pada tahun ini dimana Tun Dr. Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Rata-rata warganet menganggap filem ini berjaya meramal apa terjadi dalam politik di Malaysia kerana melihat pada tahun produksi mereka dengan tahun krisis politik itu terjadi.
Selain itu, tidak banyak yang lari daripada realiti lebih-lebih lagi berkaitan kes ‘Langkah Sheraton’ dan krisis dalaman pihak kerajaan ketika itu.

Meskipun ia tidaklah tepat 100 peratus, namun ia masih berjaya memberi gambaran tentang situasi itu yang boleh membuatkan warganet berasa tidak asing dan teruja meneka watak yang dibawa oleh mereka.
FIlem ini dilihat sebagai filem yang memberi sindiran pada mainan politik yang berlaku di Malaysia ini apabila ia menyentuh isu tentang rasuah, dan krisis dalaman parti.
Terlalu banyak babak yang ditonjolkan berkait dengan politik di negara ini membuatkan ia kelihatan dekat dengan masyarakat lebih-lebih lagi apabila krisis itu masih segar di ingatan.
Meskipun begitu, dengan durasi 1 jam 40 minit filem ini nampaknya seakan-akan terlalu gopoh untuk menamatkan cerita dan terlalu banyak babak yang tidak perlu dimasukkan.
Sekiranya mereka membuang babak-babak yang tidak perlu pasti filem itu akan menjadi lebih padat dengan plot yang mampu menjawab segala persoalan di dalam fikiran.

Menurut pengarah filem ini yang merupakan peminat filem House of Card, tujuannya hanya untuk memberikan filem yang realistik dan lebih direct untuk ditonton oleh orang ramai.
Tambah beliau, filem ini hanyalah rekaan semata-mata dan persamaan yang tidak boleh dielakkan itu demi mewujudkan identiti Malaysia di dalam supaya jika orang luar melihat cerita ini mereka dapat memahami yang ia berkaitan dengan negara ini.
Pada pandangan penulis, filem ini perlu ditonton buat mereka yang minat dengan filem berunsur political thriller dan memandangkan ini merupakan filem pertama yang menonjolkan sisi gelap politik di Malaysia ia sememangnya memberi nafas baharu dalam dunia perfileman.
Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.
Untuk membaca artikel lain berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah: