#LejenFlix: Singkap Sisi Gelap Tentera, Ini Review K-Drama D.P.

Ditayangkan pada 27 Ogos lalu, D.P. yang menyingkap sisi gelap kehidupan di markas tentera Korea Selatan masih berjaya mencuri perhatian orang ramai apabila ia menduduki tangga keempat bagi rancangan televisyen terkenal dalam kalangan penonton Netflix Malaysia.

Dibintangi oleh barisan pelakon yang hebat seperti Jung Hae-in, Son Seok-koo, Kim Sung-kyun dan Koo Kyo-hwan, drama yang diadaptasi daripada webtoon terkenal ini memaparkan realiti menyakitkan yang berlaku dalam sistem ketenteraan Korea Selatan.

Berlatarbelakangkan tahun 2014, D.P. mengikuti kisah Prebet Ahn Jun-ho (Jung Hae-in) yang menjalani khidmat ketenteraan wajib seperti lelaki lain di Korea.

Sumber: Instagram @holyhaein

Selepas menjalani khidmat ketenteraan wajib, Jun-ho kemudiannya sedar bahawa kehidupan di markas tentera adalah seperti neraka. Sejak mula lagi, Jun-ho dan Prebet Cho Suk-bong (Jo Hyun-chul) bersama anggota tentera lain sering dibuli Sarjan Hwang Jang-soo (Shin Seung-ho) serta konco-konconya.

Sumber: Instagram @netflixkr

Disebabkan teruk dibuli Jang-soo, Jun-ho membuat keputusan untuk menerima tawaran Sarjan Park Beom-gu (Kim Sung-kyun) menyertai unit D.P. (Deserter Pursuit) iaitu nama bagi polis ketenteraan yang mengejar tentera AWOL (tidak hadir tanpa kebenaran).

Jun-ho bergandingan bersama Park Sung-woo (Go Kyung-pyo) pada misi pertama beliau sebagai anggota unit D.P. tetapi ia tidak berakhir dengan baik apabila anggota tentera yang melarikan diri iaitu Shin Woo-suk (Park Jung-woo) menamatkan riwayatnya sendiri.

Jun-ho dan Ho-yeol. Sumber: Kimchi Daily

Selepas menyertai unit D.P., Jun-ho kemudiannya bergandingan bersama Korporal Han Ho-yeol (Koo Kyo-hwan). Disebabkan personaliti Ho-yeol yang kelakar, Jun-ho sedikit kekok dengan lelaki itu pada awalnya tetapi kerjasama antara mereka bagi menangkap para pelarian itu pastinya akan membuatkan penonton teruja.

Dalam pada itu, Hae-in menjelaskan bahawa anggota unit D.P. tidak kelihatan seperti tentera kerana mereka perlu menyamar dan berada di luar markas untuk mencari tentera yang melarikan diri. Jika anggota unit D.P. berpakaian seperti tentera, identiti mereka akan terdedah kepada tentera yang melarikan diri.

Dari kiri ke kanan: Jung Hae-in, Kim Sung-kyun dan Koo Kyo-hwan. Sumber: Kpopmap

Secara peribadinya, episod terakhir meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada penulis. Apabila Jun-ho melawat tempat simpan abu Shin Woo-suk (kadet yang melarikan diri dalam episod pertama), kakak mendiang bertanya Jun-ho tentang adiknya dan bagaimana beliau ketika berkhidmat sebagai anggota tentera dahulu.

Jun-ho yang tidak mengenali Woo-suk secara peribadi menipu kakak mendiang dengan berkata lelaki itu adalah seorang yang baik dan bekerja keras.

Selepas mendengar jawapan Junho, wanita itu terus bertanya, “Sekiranya Woo-suk adalah seorang yang baik dan bekerja keras, kenapa kamu tidak melakukan apa-apa ketika dia dibuli?”

Pada pendapat penulis, soalan kakak Woo-suk membuatkan penonton berfikir semula sama ada mereka akan berdiam diri atau mengambil tindakan untuk melindungi mangsa buli sekiranya berada dalam situasi sama.

Sumber: Kimchi Daily

Drama ini sebenarnya agak berat dan realistik kerana banyak babak ‘kejam’ dan ganas yang dipaparkan benar-benar berlaku dalam dunia sebenar seperti tentera yang menjawat jawatan lebih tinggi menyeksa pelatih ketika mereka sedang tidur. Ada juga yang menolak kepala pelatih sehingga terkena paku dan macam-macam lagi.

Penulis percaya anda perlu menonton D.P. sekiranya meminati drama atau filem dengan tema berat. Memandangkan D.P. cuma mempunyai enam episod sahaja, para penonton boleh binge-watch kerana cerita ini akan buat anda hooked dan mahu menonton sehingga ke akhirnya. Adakah anda sudah menonton drama ini?

*Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca lebih banyak artikel berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca