#LejenFlix: Selain Extraordinary Attorney Woo, Ini 5 Drama Park Eunbin Yang Anda Wajib Tonton

Selepas 10 episod, drama Extraordinary Attorney Woo yang dibintangi Park Eunbin, Kang Tae Oh dan Kang Kiyoung ini masih lagi mencuri perhatian orang ramai apabila ia kekal di tangga teratas bagi rancangan televisyen terkenal dalam kalangan penonton Netflix Malaysia.

Drama ini mengisahkan tentang Woo Young Woo (Park Eunbin) iaitu seorang peguam yang mengalami Kecelaruan Spektrum Autisme dan bekerja di sebuah firma guaman besar.

Walaupun mempunyai darjah kecerdasan otak (IQ) yang tinggi iaitu 164 dan memiliki ingatan yang luar biasa serta cara berfikir yang kreatif, Young Woo mempunyai kemahiran sosial yang lemah.

Selain Extraordinary Attorney Woo, kami akan kongsikan lima drama ikonik Eunbin yang anda wajib tonton dalam artikel ini.

1. Age of Youth/ Hello, My Twenties!

Sumber: Pinterest

Dengan personaliti, matlamat hidup dan cita rasa berbeza dalam lelaki, drama ini mengikuti kisah Yoon Jinmyung (Han Yeri), Jung Yeeun (Han Seungyeon), Song Jiwon (Park Eunbin), Kang Yi-na (Ryu Hwayoung) dan Yoo Eunjae (Park Hyesoo) yang tinggal di dalam rumah yang sama iaitu Bella Epoque.

Eunbin membawa watak Song Jiwon iaitu seorang pelajar jurnalisme yang sedikit aneh dan mendakwa dia boleh melihat hantu.

2. Judge vs Judge/ Nothing to Lose

Sumber: Grid

Judge vs Judge mengisahkan Lee Jung Joo (Eunbin) yang menjadi seorang hakim di Mahkamah Daerah Seoul untuk membongkarkan rahsia di sebalik pemergian abangnya.

Sikap Jung Joo yang panas baran kadang-kadang membuatkan dia mengeluarkan perkataan maki dan hamun kepada defendan-defendan di mahkamah.

Selepas abangnya meninggal dunia kerana difitnah melakukan jenayah keji, Jung Joo berjuang habis-habisan untuk membuktikan bahawa lelaki itu tidak bersalah dan cuba mencari individu-individu yang bertanggungjawab di atas pemergian mendiang abangnya.

Adakah Jung Joo mampu membuktikan bahawa abangnya benar-benar tidak bersalah? Anda perlu menonton drama ini untuk tahu jawapannya!

3. Hot Stove League

Sumber: Rakuten Viki

Menduduki tempat tercorot dalam liga selama empat musim berturut-turut, pasukan besbol profesional Dreams melantik Baek Seungsoo (Namgoong Min) sebagai pengurus besar baharu mereka.

Seungsoo tidak pernah mengurus pasukan besbol. Walau bagaimanapun, dia mempunyai rekod luar biasa dalam sukan lain di mana dia berjaya membawa kejayaan kepada teamteam yang diuruskannya.

Eunbin membawa watak Lee Seyoung iaitu pengurus operasi Dreams yang hanya mahukan apa yang terbaik untuk pasukannya. Walaupun menganggap kaedah Seungsoo tidak mengikut kebiasaan, Seyoung kemudiannya sedar yang lelaki itu mengambil berat tentang pasukan Dreams lebih daripada apa yang dia tunjuk.

Adakah Seungsoo mampu membimbing pasukan Dreams ke arah kemenangan mereka?

4. Do You Like Brahms?

Sumber: Hellokpop

Drama yang turut dibintangi Kim Minjae, Kim Sungcheol dan Park Jihyun ini membawa kisah dua individu yang berhubung melalui muzik klasikal.

Dalam drama ini, Eunbin membawa watak Chae Songah iaitu seorang pemain violin yang berbakat. Songah bertemu Park Joon Young (Minjae) iaitu seorang pemain piano yang memang berbakat secara semula jadi ketika belajar di universiti.

Disebabkan terpaksa main piano tanpa henti supaya dapat melunaskan hutang keluarganya, Joon Young sudah hilang minat terhadap muzik.

Walaupun muzik Joonyoung membuatkan Songah rasa dirinya kurang berbakat pada mulanya, hubungan mereka kemudiannya berubah menjadi sesuatu yang lebih serius. Apa yang berlaku seterusnya?

5. The King’s Affection

Sumber: Otakukart

The King’s Affection mengisahkan isteri kepada Putera Mahkota melahirkan sepasang kembar bernama Dam-i dan Lee Hwi. Walau bagaimanapun, pasangan kembar tak seiras sering dianggap sebagai petanda buruk pada zaman itu.

Dam-i kemudiannya diarahkan untuk dibawa keluar secara rahsia dari istana bagi menyelamatkan nyawanya. Selepas Lee Hwi meninggal dunia beberapa tahun kemudian, isteri Putera Mahkota itu membawa masuk Dam-i ke istana semula.

Dam-i dibesarkan sebagai kembarnya Lee Hwi. Lee Hwi kemudiannya menjadi seorang putera mahkota tetapi beliau takut identiti sebenarnya akan terdedah.

Ia menjadi sedikit rumit apabila Damyi mula jatuh cinta kepada gurunya yang bernama Jung Ji Woon (Rowoon). Jiwoon adalah daripada keluarga bangsawan dan merupakan seorang yang kacak, bijak dan optimistik.

Sekiranya meminati sageuk (drama bersejarah), anda wajib menonton cerita ini! Walaupun mengambil tempat ketika Dinasti Joseon, semua watak dalam drama ini adalah fiksional semata-mata.

*Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca