#LejenFlix: Satu Lagi Filem Seram Tahun Ini, Smile Sudah Berada Di Pawagam

Filem seram berjudul Smile yang baru sahaja memasuki pawagam tanah air bermula 29 September lalu merupakan antara filem yang paling menarik untuk tahun 2022.

Karya ini adalah adaptasi daripada filem pendek Laura Hasn’t Slept, yang ditulis dan diarah oleh Parker Finn yang turut bertanggungjawab untuk filem ini juga.

Daripada sebuah filem pendek yang berdurasi sekitar 10 minit diubah menjadi filem penuh sekitar 1 jam 55 minit.

Smile mengisahkan tentang seorang doktor, Dr. Rose Cotter (lakonan Sosie Bacon) berdepan dengan situasi traumatik selepas berlakunya insiden yang melibatkan pesakitnya.

Kemudian dia mengalami kejadian misteri yang tidak diketahui. Sedikit demi sedikit, gangguan mistik tersebut telah mengancam nyawanya.

Perkara ini menyebabkan dia terpaksa berhadapan semula dengan kisah silamnya serta cuba melepaskan diri dari gangguan tersebut. 

Wanita itu cuba menyiasat dan mencari punca sebenar di sebalik apa yang berlaku.

Akhirnya dia menyedari kejadian itu adalah rantaian sumpahan di mana seseorang itu akan mengalami nasib sama dengan mangsa selepas menjadi saksi senyuman misteri tersebut.

Filem Smile ini dibintangi oleh Sosie Bacon, Jessie T. Usher, Kyle Gallner, Robin Weigert, Caitlin Stasey, Kal Penn dan Rob Morgan.

Sosie Bacon memegang watak Dr. Rose Cotter

Dari sudut lakonan, Sosie Bacon sangat menyerlah dan meyakinkan. Jiwanya sebagai individu yang diganggu secara mental sangat realistik.

Kisah seram ini tidak memerlukan masa yang lama untuk mewujudkan rasa ketakutan kepada penonton.

Apabila seawal minit pertama lagi, sederetan babak-babak mencemaskan berjaya disaji dan menimbulkan rasa cemas dalam diri setiap yang menonton.

Selain itu, jalan ceritanya juga berjaya mewujudkan tanda tanya kepada penonton apakah senyuman itu merupakan elemen supernatural, serangan virus atau sumpahan terancang.

Setiap pergerakan kamera, peralihan antara adegan dan muzik yang digunakan dengan cukup bijak.

Pengarahan Parker Finn sangat baik dan ada beberapa adegan tidak mempunyai muzik yang menyeramkan, tetapi ia berjaya menjadikan suasana yang cemas dan membuatkan penonton ternanti-nanti apa yang akan berlaku seterusnya.

Filem ini benar-benar mendebarkan sekali gus membuat penonton tidak senang duduk, malah berjaga-jaga kebarangkalian kejutan pada babak seterusnya.

Secara keseluruhannya, Smile akan membuatkan anda merasai keseraman dan ketakutan berterusan sepanjang menonton filem itu. 

*Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Anda boleh tonton video trailer di bawah.

Untuk baca lebih banyak artikel berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca