#LejenFlix: Review Filem Rumah Kentang: The Beginning

Macam mana hendak buat kentang nampak menakutkan?

Kedengaran sukar namun itulah yang cuba diketengahkan dalam filem terbaharu arahan Rizal Mantovani. Selain menggunakan kentang sebagai elemen seram, kisah ini juga memaparkan babak pemujaan yang melibatkan seorang anak kecil sehingga rohnya menganggu watak-watak lain dalam cerita ini.

Meskipun kami berpendapat idea yang digunakan pengarah adalah unik kerana beliau cuba untuk menggunakan benda yang dimakan dalam kehidupan seharian sebagai elemen seram utama, kami merasakan pelaksanaannya masih perlu diperhalusi.

Hal ini kerana terdapat babak-babak di dalam filem ini untuk ‘menjual’ kentang sebagai perkara menakutkan kelihatan gagal, malah, nampak melucukan.

Bayangkan, kentang-kentang yang banyak memenuhi lantai kemudian berguling dan membentuk sosok hantu. Ada juga babak di mana kentang jatuh bertaburan menimpa watak di dalam filem. Adakah anda berasa seram apabila membayangkan perkara ini?

Meskipun begitu, filem seram yang ini tidaklah gagal sepenuhnya kerana masih terdapat elemen-elemen lain yang berjaya menunjukkan bahawa filem ini masih mampu membuatkan penonton tidak senang duduk.

Filem Rumah Kentang: The Beginning ini membawa penonton kembali ke zaman era 80an ketika Sophie (Luna Maya) dan Adrian (Christian Sugiono) membawa tiga anak mereka serta nenek (Jajang C.Noer) untuk mengunjungi rumah peninggalan ibu bapa Sophie.

Menurut penceritaan watak Sophie yang merupakan isteri dan pengilustrasi novel misteri yang ditulis suaminya, orang tua wanita itu hilang secara misteri di kediaman terbabit yang dibina sambil dikelilingi ladang kentang.

Sebenarnya, tujuan utama Adrian dan Sophie pergi ke rumah peninggalan itu adalah kerana penerbit novel mereka mahu karya terbaharu dihasilkan menerusi pengalaman sendiri. Dalam kata lainnya, Adrian dan Sophie diminta untuk mencari hantu.

Pada pendapat kami, permulaan kisah ini agak stereotaip atau klise kerana ia sudah terlalu banyak digunakan dalam filem-filem lain. Selalunya, apabila watak diminta untuk ‘mencari’ hantu, sudah pastinya sesuatu yang buruk akan terjadi kepada mereka.

Di samping itu, beberapa babak di dalam filem ini juga agak klise dan boleh diduga seperti ilustrasi yang dilukis Sophie tidak padan dengan deskripsi cerita yang ditulis suaminya. Ternyata, lukisan itu adalah ramalan mengenai giliran anak pasangan itu yang akan diculik hantu.

Walau bagaimanapun, filem ini masih menggunakan beberapa elemen seram yang berhasil iaitu keluarga, tragedi dan ketakutan seorang ibu akan nasib anaknya.

Elemen keluarga adalah salah satu sumber ketakutan manusia yang paling banyak digunakan dalam pembikinan filem-filem seram moden. Hal ini kerana manusia sememangnya mempunyai fitrah untuk melindungi orang yang disayangi mereka sehingga sanggup mengorbankan diri sendiri.

Namun begitu, filem ini kelihatannya seperti tidak memahami secara menyeluruh mengenai mesej utama yang mahu disampaikan. ‘Penjualan’ kentang sebagai elemen seram sepertinya terlalu banyak digunakan mengakibatkan pengajaran yang sepatutnya diberitahu pada pengakhiran filem tidak diperkatakan.

Di penghujung Rumah Kentang: The Beginning, seorang pembaca mengajukan soalan kepada Adrian apakah pengajaran yang diperoleh daripada pengalaman seram yang dialaminya. Ini sebenarnya merupakan babak yang genting kerana ia sepatutnya menjadi ruang buat pengarah untuk memberitahu penonton mengenai asas filem.

Namun begitu, watak Adrian gagal menyuarakannya malah, menyatakan sesuatu yang sudah jelas dan tiada pengisian banyak iaitu tentang kewujudan dunia ghaib, jangan membuat perjanjian dengan syaitan dan sebagainya.

Walhal, sebagai penonton, kami dapat melihat bahawa asas filem ini sebenarnya mengenai seorang ibu yang sanggup menjual anaknya sendiri kerana malu dan tidak sanggup membesarkan cahaya mata yang cacat.

Ini sepatutnya boleh menjadi pengajaran yang penting namun, ia gagal disampaikan pada penghujung cerita.

Konklusinya, filem ini masih banyak yang perlu diperbaiki. Perwatakan watak yang dicipta juga tidak banyak memberi kesan terutama sekali kehadiran tiga cahaya mata pasangan Sophie dan Adrian yang sepertinya hanya wujud untuk menjadi mangsa hantu.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk membaca artikel lain berkaitan #LejenFlix, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca