#LejenFlix: Review Filem Netflix Yang Trending Nombor 1 Di Malaysia, ‘The Platform’

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan minggu lalu, sudah pastinya ramai yang bosan dan mempunyai banyak masa terluang di rumah.

Jadi, anda boleh cuba untuk menonton filem The Platform yang kini sedang berada di tangga nombor satu filem paling banyak ditonton oleh rakyat Malaysia.

Filem ini dikatakan relatable dengan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dijalani penduduk Malaysia sekarang ini.

Sumber: IMDb

The Platform merupakan sebuah filem sains fiksyen dan thriller yang mengisahkan tentang sebuah penjara yang mempunyai ratusan tingkat. Pada setiap level atau sel, terdapat hanya dua orang dengan kemudahan asas. Mereka cuma diberi makan sehari sekali dan makanan tersebut disediakan di atas platform yang bergerak dari tingkat ke tingkat. Agihan makanan yang tidak adil ini telah diangkat menjadi isu utama dalam filem ini.

Filem arahan Galder Gaztelu-Urrutia ini merupakan filem untuk tontonan 18 tahun ke atas. Namun, apa yang pasti tidak semua dapat menerima filem ini yang mungkin agak ‘gore’ serta tidak berperikemanusiaan.

The Platform turut mengangkat isu kritikan sosial terhadap masyarakat yang berlaku pada ketika ini, sama seperti filem daripada Bong Joon-Ho, Parasite (2019). Hierarki kehidupan di dunia sebenar digambarkan mengikut level dalam filem ini.

Keunikan filem ini juga boleh dilihat pada setiap watak yang muncul. Watak utamanya, Goreng merupakan seorang yang bijak tetapi naif dan terlalu lurus. Trimagasi pula adalah seorang yang berpengalaman serta sanggup melakukan apa sahaja untuk hidup dan keluar dari penjara tersebut.

Baharat pula adalah individu yang mahu mengubah sistem kejam di penjara itu tetapi tidak mendapat sokongan daripada orang atasan.

Sumber: Unilad

Setiap watak yang terdapat dalam filem ini adalah cerminan individu yang wujud di dunia sebenar. Terdapat segelintir masyarakat yang masih memikirkan tentang orang bawahan. Ada juga yang hanya memikirkan tentang diri mereka sendiri dan ada juga yang lebih mementingkan keluarga berbanding diri sendiri.

Dalam filem ini, mereka yang masuk ke penjara tersebut dibenarkan untuk membawa satu barang yang paling mereka perlukan untuk bersama mereka sepanjang berada di sana. Setelah menonton filem ini, anda akan lihat kepelbagaiaan barangan peribadi yang dibawa oleh setiap individu. Namun, adakah ianya sesuatu yang pelik sekiranya anda membawa buku masuk ke dalam penjara? Anda perlu tonton sendiri filem ini untuk mengetahui jawapannya.

Pada pendapat penulis, simbolik yang diangkat dalam filem The Platform ini sangat relatable dengan keadaan kita sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perangai segelintir masyarakat yang memborong roti Gardenia, topeng muka dan hand sanitizer tidak ubah seperti orang atasan dalam filem ini yang langsung tidak mempedulikan tentang orang bawahan.

Tinjauan penulis di laman sosial Twitter mendapati bahawa ramai yang menyukai dengan jalan cerita filem ini yang dikatakan genius namun ada juga yang tidak berpuas hati dengan penamatnya.

Setelah menonton filem ini, kita seharusnya bersyukur kerana walaupun dalam tempoh PKP, kita masih boleh keluar rumah untuk membeli barang keperluan. Kita juga masih mempunyai akses kepada internet untuk berhubung dengan dunia luar. Bayangkan sekiranya kita berada di dalam penjara?

Penonton perlu bijak untuk memahami dan mentafsir apa yang cuba disampaikan pengarah dalam filem ini.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk membaca artikel lain berkaitan #LejenFlix, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca