#LejenFlix: PASKAU Beraksi Dalam Filem ‘Air Force The Movie: Selagi Bernyawa’ Ogos Ini

Dahulunya, filem aksi Paskal berjaya mencuri hati penonton dengan barisan pelakon hebat dan jalan ceritanya yang memukau. Kini filem terbaru, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, bakal menjadi bualan hangat apabila diterbitkan nanti.

Bulan April lalu, GSC Cinemas telah mengeluarkan trailer yang berdurasi 1 minit 5 saat yang mendapat sambutan tinggi daripada orang ramai.

Rata-ratanya memuji penghasilan filem melalui trailer itu dari segi casting, sinematografi dan babak aksi yang dipaparkan. Ramai yang meluahkan rasa tidak sabar untuk menonton filem penuh yang berkualiti tinggi ini.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa diarahkan oleh Zulkarnain Azhar dan Frank See. Ia mengisahkan tentang kumpulan PASKAU (Pasukan Khas Udara) yang dipimpin oleh Kapten Adib dan mentornya, Major Adnan dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi yang sedang berperang.

Dalam perjalanan pulang dari misi tersebut, pesawat mereka ditembak jatuh oleh militan tempatan. Mengetahui perkara ini, tentera udara di Malaysia bersiap siaga untuk datang menyelamat.

Filem ini menampilkan barisan pelakon terkemuka Malaysia yang berpengalaman iaitu Aiman Hakim Redza, Datuk Adi Putra, Nas-T, Luqman Hafidz, Johan As’ari, Pablo Amirul, Jack Tan, Sara Ali, Anas Ridzuan, Iman Corinne, dan Niezam Zaidi.

Kisah patriotik mengenai perwira negara ini menetapkan tarikh tayangan umum pada 26 Ogos 2021, 5 hari sebelum rakyat menyambut Hari Kebangsaan Malaysia.

Baca artikel-artikel berkaitan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca