#LejenFlix: Papar Aksi Jenayah Geng Teksi, Ini Review Filem ‘Fly By Night’

Fly By Night merupakan sebuah filem crime thriller yang berkisar tentang sebuah keluarga yang bekerja sebagai pemandu teksi sambilan dan pencuri serta memeras ugut penumpang. Konflik berlaku apabila salah seorang daripada mereka telah melakukan kerja ‘kotor’ di luar pengetahuan adik beradik yang lain.

Sumber: IMDb

Filem arahan Zahin Omar ini mengangkat kisah kehidupan dan latar belakang pemandu teksi di negara ini. Tanpa kita sedar, di sebalik apa yang mereka lalui, terdapat satu lagi sisi gelap yang mereka anggap sebagai dunia kedua mereka dan menjadikan mereka raja.

Setiap watak dalam filem ini memainkan peranan yang penting terutamanya Tai Lo yang membawa watak sebagai seorang ketua samseng yang tegas. Keadaan menjadi kucar-kacir apabila adiknya Sailo serta Gwailo yang juga merupakan ahli kumpulan sindiket ini bersifat tamak dan telah menyebabkan kumpulan sindiket mereka diburu kumpulan kongsi gelap. Tai Lo terpaksa mencari jalan keluar demi melindungi keluarganya daripada pihak polis dan kumpulan kongsi gelap.

Inspektor Kamal pula yang berperanan memburu dan menyiasat sindiket penipuan adik beradik ini ternyata mempunyai kisah silamnya yang tersendiri. Namun, ia terbongkar dengan bantuan daripada Tai Lo.

Pada pendapat penulis, jalan cerita filem Fly By Night adalah sesuatu yang belum pernah lagi dibuat oleh mana-mana pembikin filem di Malaysia sebelum ini. Filem ini bukan sahaja akan membawa anda menyelami konflik keluarga Tai Lo, bahkan akan membuka mata anda bahawa pegawai polis juga mempunyai salah laku mereka sendiri. Ingin tahu apa yang dimaksudkan? Anda perlu tonton sendiri untuk mengetahui jawapannya.

Selain itu, watak Inspektor Kamal yang dilakonkan oleh Bront Palarae pasti akan membuat anda tergelak kecil kerana dialog yang dilontarkannya adalah sangat cool dan berkarisma. Lakonan Bront Palarae tidak perlu dibahaskan lagi kerana setiap filem mahupun drama yang dilakonkan beliau pasti cemerlang dan terkesan di hati penonton.

Sementara itu, tinjauan penulis di laman Twitter mendapati orang ramai turut menggemari jalan cerita filem ini yang dikatakan sama hebatnya seperti filem One Two Jaga.

Filem ini dibintangi oleh Bront Palarae, iedil Putra, Sunny Pang, Jack Tan, Fabian Loo, Eric Chen dan Frederick Lee.

Untuk pengetahuan, filem ini telah mendapat pengiktirafan apabila ditayangkan di International Film Festival & Awards Macao (IFFAM) dan Pesta Filem Asia Jogja-NETPAC. Selain itu, filem yang menggunakan bahasa Mandarin, Malaysia dan Kantonis ini turut ditayangkan di pesta filem Antarabangsa Santa Barbara 2019 di Amerika Syarikat.

Fly By Night telah berada di Netflix pada 21 Ogos 2019 tahun lalu.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel lain berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca