#LejenFlix: Pahlawan Kebanggaan Negara, Ini Kisah Leftenan Adnan

“Jika terdapat 10 orang Leftenan Adnan, belum pasti Malaya jatuh ke tangan Jepun.”

Malaysia akan menyambut hari kemerdekaannya yang ke-63 pada 31 Ogos ini. Kita selalu mendengar kisah-kisah perjuangan para pejuang dalam usaha mereka menuntut kemerdekaan.

Kisah Leftenan Adnan bagaimanapun meninggalkan kesan yang cukup mendalam pada ingatan penulis sehingga ke hari ini.

Leftenan Adnan bukanlah satu nama yang asing dalam sejarah negara kita. Anak kelahiran Kampung Sungai Ramal di Kajang, Selangor bernama Adnan bin Saidi ini menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang tentera sejak dari kecil lagi. 

Walaupun pernah bertugas sebagai seorang guru pelatih, minatnya yang mendalam terhadap bidang ketenteraan tidak menghalang beliau daripada mengejar cita-citanya.

Atas sebab itu, beliau membuat keputusan untuk menyertai Rejimen Askar Melayu pada tahun 1933 iaitu ketika usianya memasuki 18 tahun.

Kehebatan Leftenan Adnan mula terserlah ketika Perang Dunia Kedua. Pada waktu itu, Jepun sedang meluaskan jajahan mereka ke beberapa buah negara termasuk Tanah Melayu dan Singapura.

Pertempuran Pasir Panjang

Sumber: Daily Rakyat

Permatang Pasir Panjang di Singapura menyaksikan pertempuran antara Jepun dan Rejimen Askar Melayu pada 13 Februari 1942.

Walaupun tentera Jepun memberikan serangan yang sangat padu, Leftenan Adnan dan pasukannya iaitu Kompeni C memberikan tentangan yang cukup sengit sehingga memaksa pasukan tentera Jepun berundur dari lokasi berkenaan.

Pasukan tentera Jepun terpaksa menerima hakikat bahawa mereka gagal menembusi pertahanan Askar Melayu meskipun mempunyai bilangan anggota yang lebih ramai.

Pertempuran Bukit Candu

Pada 14 Februari 1942, Kompeni C di bawah pimpinan Leftenan Adnan menerima perintah daripada Tentera British untuk bergerak ke Bukit Candu. Bukit Candu adalah lokasi pertahanan yang strategik kerana ia merupakan benteng terakhir untuk memasuki Singapura.

Leftenan Adnan mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena selepas terlihat kontinjen Tentera British-India bergerak dalam keadaan mencurigakan pada waktu petang. Tentera British lazimnya berkawad dalam tiga barisan manakala tentera-tentera ini pula bergerak dalam empat barisan. 

Selepas menyedari helah tentera Jepun, Leftenan Adnan dan anggotanya melepaskan tembakan apabila pihak musuh tiba di lokasi mereka.

Tentera Jepun kembali dengan lebih ramai anggota dan melakukan serangan besar-besaran terhadap Askar Melayu tidak lama selepas itu.

Leftenan Adnan gugur di medan perang

Tentera Jepun naik berang selepas melihat ramai anggota mereka tewas kepada keberanian dan kehebatan pasukan Askar Melayu di bawah pimpinan Leftenan Adnan.

Pihak musuh menyeksa Leftenan Adnan dengan cukup kejam dan menggantung jenazah beliau di pokok ceri. Leftenan Adnan menghembuskan nafas terakhir pada usia 27 tahun.

Pada pendapat penulis, semangat dan keberanian serta rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air yang ada pada Allahyarham Leftenan Adnan perlu dicontohi oleh semua warganegara Malaysia. Selamat Hari Kebangsaan.

*Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk membaca artikel-artikel #LejenFlix yang lain, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca