#LejenFlix: Nocturnal Animals, Membalas Dendam Dengan Menulis Kisah Balas Dendam

Konsep cerita sang adiwira membalas dendam akan kezaliman si penjahat terhadap dirinya bukanlah sesuatu yang asing daripada dunia perfileman.

Daripada sekecil-kecil hal seperti mengenakan kaki buli di sekolah atau hal yang besar seperti menjatuhkan diktator zalim yang telah menyiksa keluarganya, pembalasan dendam untuk mendapatkan keadilan datang dalam pelbagai bentuk.

Dalam konteks kita sebagai penonton, melihat individu yang dizalimi akhirnya berjaya memberi pembalasan yang setimpal kepada pelakunya akan memberikan kita, para penonton, sebentuk kepuasan.

Mengetengahkan tema ini, filem thriller tahun 2016, Nocturnal Animals, menyampaikan kisah balas dendam yang bukan sahaja memuaskan namun turut terasa unik dan menarik kerana cara penceritaannya yang menggunakan dua kisah.

Kisah dalam kisah

Pada permulaan cerita, kita diperkenalkan dengan Susan, seorang wanita yang bekerjaya dan tidak bahagia dengan hidupnya. Anaknya tidak menyayanginya dan pada masa yang sama dia tahu yang suaminya berlaku curang di belakangnya.

Susan yang berjaya dalam kerjayanya namun tidak bahagia.

Suatu hari, tanpa disangka-sangka dia diberi satu hadiah oleh bekas suaminya yang dia tinggalkan suatu masa dahulu, Edward, yang berbentuk sebuah novel yang dihantar ke depan rumahnya.

Apabila Susan mula membaca buku tersebut, kita penonton dipindahkan pula ke dalam cerita buku itu, di mana seorang lelaki bersama isteri dan seorang anak perempuan sedang memandu di jalan yang amat gelap dan lapang.

Di sinilah debaran bermula apabila muncul sebuah kumpulan lelaki asing datang dengan kereta mereka mengepung keluarga malang itu, menyekat mereka di tengah-tengah jalan yang mustahil bagi mereka untuk dapatkan bantuan.

Kisah dalam novel yang mendebarkan

Terperangkap tanpa sebarang jalan keluar, keluarga malang itu harus mengikut permainan penjahat tersebut sehinggalah nasib mereka berakhir dengan peristiwa tragis.

Terkesan dengan kejadian ini, protagonis kemudiannya berhasrat untuk membalas dendam kepada penjahat yang telah menzalimi keluarganya.

Namun sepanjang cerita novel itu ditunjukkan, kita juga akan dipindahkan balik ke dunia sebenar. Akibat membaca novel itu, Susan teringat kembali akan kisah lamanya bersama Edward yang merupakan seorang penulis.

Kita kemudiannya mendapat imbas kembali hidup Susan itu bersama Edward dan bagaimana hubungan mereka sedikit demi sedikit retak akibat kekurangan lelaki dan akhirnya berakhir dengan Susan memutuskan untuk meninggalkan Edward untuk orang lain.

Tujuan yang satu

Menonton filem itu, kita akan saling bermain di antara dunia sebenar dan dunia dalam novel. Kedua-dua cerita pada awalnya agak berbeza namun pada akhirnya hanya mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk membalas dendam.

Protagonis dalam novel itu membalas dendam kepada si lelaki penjahat dengan membunuh mereka manakala Edward di dunia sebenar membalas dendam kepada perlakuan bekas isterinya dengan menulis kisah dendam tersebut.

Hal ini kerana kisah novel tersebut merupakan simbolik terhadap apa yang telah dilakukan Susan terhadap dirinya.

Kisah tragis hubungan Edward dan Susan, menyebabkan Edward menulis novel untuk membalas dendam

Diarah oleh Tom Ford dan dibintangi oleh Amy Adams dan Jack Gyllenhaal, penulis amat mengesyorkan sesiapa sahaja yang meminati cerita thriller lagi-lagi yang bertemakan konsep membalas dendam, untuk menonton cerita ini.

Pada satu bahagian anda akan mendapat cerita tragedi yang mendebarkan. Manakala pada masa yang sama, anda turut mendapat cerita drama yang menyedihkan tentang kisah sepasang suami isteri yang hancur disebabkan faktor material.

Satu membalas dendam dengan fizikal, dan satu lagi membalas dendam secara emosi.

Dua cerita terjalin untuk satu tujuan, Nocturnal Animals merupakan satu filem yang bagi penulis amat rugi untuk tidak ditonton.

*Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca