#LejenFlix: Mengangkat Kisah Kehidupan Keluarga Sebenar, Ini Review Filem ‘Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini’

“Bahagia itu tanggungjawab masing-masing.”

Itu adalah salah satu petikan dialog dalam filem popular Indonesia, ‘Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini’ (NKCTHI).

Di Indonesia, filem NKCTHI ini telah mencetuskan fenomena apabila berjaya meraih jumlah tontonan sebanyak 2.2 juta penonton sekali gus menjadi filem genre drama keluarga nombor satu terlaris di Indonesia.

Sumber: IMDb

Filem terbitan Visinema Pictures ini mengisahkan tentang perjalanan hidup sebuah keluarga yang tampak bahagia. Setelah mengalami kegagalan besar buat pertama kali dalam hidupnya, Awan berkenalan dengan Kale, seorang pemuda eksentrik yang memberikan Awan pengalaman hidup baru, tentang patah, bangun, jatuh, tumbuh, hilang, dan semua ketakutan manusia. Perubahan sikap Awan mendapat teguran daripada orang tuanya. Hal ini telah mendorong kepada pemberontakan ketiga-tiga adik beradik ini yang menyebabkan terbongkarnya rahsia dan trauma besar dalam keluarga mereka.

Filem arahan Angga Dwimas Sasongko ini merupakan filem yang sangat sesuai ditonton oleh seisi keluarga. Mesej yang disampaikan dalam filem ini pastinya sangat dekat dengan jiwa dan bakal meruntun hati anda.

Filem adaptasi daripada buku terlaris karya Marchella FP ini mengangkat isu kekeluargaan yang mungkin berlaku dalam keluarga anda. Di luarnya nampak bahagia dan gembira, tetapi di dalam siapa yang tahu?

Jalan cerita filem ini menggunakan tiga fasa tahun yang berbeza iaitu tahun 1989, tahun 2000 dan tahun 2019. Pada dasarnya, pengakhiran filem ini boleh dikatakan mudah untuk diteka namun, cara penyampaian setiap karakter berjaya membuatkan sesiapa sahaja yang menonton bermain dengan emosi.

Setiap watak dalam filem ini mempunyai karakter yang berlainan. Bermula dengan Angkasa, seorang abang yang diberikan tanggungjawab oleh bapanya untuk menjaga adik-adiknya sehingga menggangu perjalanan hidupnya sendiri. Angkasa juga menyimpan satu rahsia besar daripada pengetahuan adik beradiknya yang lain. Apakah rahsianya?  Anda perlu tonton sendiri filem ini untuk mengetahui jawapannya.

Aurora, seperti namanya, begitulah wujudnya. Sebuah fenomena alam yang jarang berlaku namun tetap indah setiap kali dipandang. Perwatakkan Aurora yang suka akan seni sangat sesuai dengan namanya. Namun pada hakikatnya, Aurora adalah seorang anak yang lebih banyak memendam rasa terhadap perlakuan ahli keluarganya.

Awan pula, seorang anak gadis yang ingin belajar untuk merasai jatuh, bangun kehidupan seringkali dikongkong oleh bapanya. Setiap pilihan yang dilakukan Awan mesti akan dipengaruhi oleh ahli keluarganya sendiri.

Pada pendapat penulis, filem ini sangat relatable bagi sesetengah keluarga pada masa kini. NKCTHI merupakan sebuah filem yang sarat dengan mesej kekeluargaan dan menceritakan tentang realiti kehidupan sebenar yang penuh dengan pengorbanan dan air mata. Filem ini juga menjadikan penulis merenung kembali tentang kehidupan terutamanya mengenai sikap ahli keluarga yang memiliki cara berbeza untuk memberi dan menunjukkan kasih sayang mereka.

Selain itu, visual dan sinematografi yang dipaparkan dalam filem ini sangat cantik dan memuaskan. Pemilihan lagu latar (soundtrack) dalam filem ini juga sangat sesuai dengan jalan cerita yang cuba disampaikan. Bagi yang meminati band-band ‘indie’ Indonesia, filem ini sangat sesuai untuk anda.

Sementara itu, tinjauan penulis di laman sosial Twitter mendapati bahawa ramai yang memberikan komen yang positif terhadap filem ini. Rata-rata daripada mereka menitiskan air mata ketika menonton filem ini.

Filem ini dibintangi pelakon hebat Indonesia seperti Rachel Amanda (Dua Garis Biru), Rio Dewanto (Gundala), Oka Antara (The Raid 2), Sheila Dara (Ratu Ilmu Hitam), Chicco Jerikho (Filosofi Kopi), Susan Bachtiar (Surat Kecil Untuk Tuhan), dan ramai lagi.

Untuk pengetahuan, filem Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini (NKCTHI) akan berada di Netflix pada 1 July 2020 ini.

Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk membaca artikel lain berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca