Daripada Vincenzo, Crash Landing On You sehinggalah Kingdom, kesemua rancangan K-Drama ini mengeluarkan jumlah kos yang banyak dalam penghasilan drama tersebut.
Reka bentuk produksi, barisan pelakon ternama, penghasilan set lakonan yang terperinci, penggunaan kesan-kesan khas, lokasi perfileman serta pakaian yang fashionable memainkan peranan yang penting dalam penghasilan K-Drama yang berkualiti.
Ini adalah senarai 10 rancangan K-Drama yang paling mahal pernah diterbitkan.
1. Arthdal Chronicles
Arthdal Chronicles merupakan rancangan drama Korea fantasi berunsurkan sejarah yang pertama diterbitkan. Jadi, wajarlah jika kos produksi pembikinan K-Drama ini sangat tinggi.
Rancangan ini dikatakan mengambil inspirasi daripada rancangan Games of Thrones yang juga merupakan salah satu rancangan terkenal dengan kos produksi yang tinggi untuk penataan kesan-kesan khasnya, rekaan kostum dan set lakonannya.
Rancangan K-Drama Arthdal Chronicles dibintangi oleh barisan pelakon terkenal iaitu Song Joong-ki, Kim Ji-won dan Jang Dong-gun yang turut menaikkan kos produksi. Jisoo BlackPink juga turut membuat penampilan selama 11 saat pada episod ketujuh drama tersebut.
Beberapa babak dalam drama tersebut dirakamkan di Brunei dan sebuah set telah dibina khas untuk rancangan ini di Osan, Gyeonggi. Arthdal Chronicles dianggarkan telah menghabiskan kira-kira tiga bilion won (sekitar RM11,044,017.61) dalam satu episod sahaja.
Anggaran kos keseluruhan: 54 bilion won (sekitar RM198,792,316.91).
2. Mr. Sunshine
Rancangan K-Drama berjudul Mr. Sunshine yang mempunyai 24 episod ini dianggarkan telah menghabiskan sebanyak 40 bilion won (sekitar RM147,215,609.36).
Hampir keseluruhan kos produksi telah digunakan untuk pembikinan elemen-elemen bersejarah, rekaan set, kesan-kesan khas dan pastinya barisan pelakon yang hebat dan terkenal.
Lee Byung-hun, bintang utama drama tersebut yang pernah beberapa kali muncul dalam filem-filem Hollywood dikatakan telah dibayar sebanyak 150 juta won iaitu lebih kurang RM552,058.54 per episod.
Meskipun demikian, pengeluaran kos yang tinggi ternyata membuahkan hasil yang menguntungkan kerana rancangan tersebut telah menerima reaksi positif oleh para penonton tentang lakonan, sinematografi dan jalan ceritanya yang mengisahkan sejarah Korea Selatan.
Anggaran kos keseluruhan: 40 bilion won (sekitar RM147,215,609.36).
3. Kingdom 1 & 2
Kingdom juga merupakan drama berkonsepkan sejarah yang turut mengeluarkan kos produksi yang mahal oleh kerana elemen horror (zombi) yang terlibat dalam pembikinan K-Drama tersebut.
Satu episod Kingdom dianggarkan berjumlah sebanyak tiga bilion won (kurang lebih RM11,040,383.34). Oleh sebab itu, rancangan ini hanya mempunyai enam episod bagi setiap musim.
Rancangan drama yang berkonsepkan sejarah horror ini turut memilih barisan pelakon yang terkenal seperti Ju Ji-hoon, Bae Doona dan Ryu Seung-ryong.
Pengarah Kingdom 1 & 2, Kim Seong Hun mendedahkan bahawa rancangan ini sepatutnya mempunyai sebanyak lapan episod tetapi mereka telah melebihi bajet yang ditetapkan jadi mereka terpaksa mengurangkan kepada enam episod sahaja.
Anggaran kos keseluruhan: 35 bilion won (RM128,868,727.44)
4. The King: Eternal Monarch
The King: Eternal Monarch pernah menjadi bualan ramai pada suatu masa dahulu apabila mereka mengumumkan jumlah pembayaran pelakon utama drama tersebut, Lee Min-ho.
Drama tersebut merupakan kemunculan pertama kalinya setelah Lee Min-ho tamat menjalankan khidmat ketenteraannya. Tidak lupa juga penataan kesan-kesan khas untuk elemen fantasi, penggunaan kereta-kereta mahal, barang perhiasan, kuda, rekaan set berkonsepkan diraja, jalan cerita menyebabkan kos pembikinan drama ini tinggi.
Pihak produksi juga harus mereka semula dunia fiksyen yang tidak wujud tetapi kelihatan lebih kurang seperti bandar Busan.
Anggaran kos keseluruhan: 30 bilion won (kira-kira RM110,440,006.80).
5. Sweet Home
Drama Korea bersiri keluaran Netflix yang berjudul Sweet Home yang diinspirasikan daripada sebuah webtoon ini telah menghabiskan bajet sebanyak tiga bilion won per episod (kira-kira RM11,046,275.45) untuk kesan khas dan CGI bagi watak raksasa serta makhluk aneh.
Rancangan bersiri ini juga diarahkan oleh seorang pengarah terkenal, Lee Eung-bok yang pernah menghasilkan drama-drama popular seperti Descendants of the Sun, Goblin and Mr. Sunshine dan semuanya juga mempunyai kos produksi yang mahal.
Anggaran kos keseluruhan: 30 bilion won (sekitar RM110,440,006.80).
6. Vagabond
Tidak dilupakan juga sebuah siri drama Korea bertajuk Vagabond yang bergenre aksi dan dibintangi oleh Suzy Bae, Lee Seung-gi dan Shin Sung-rok turut termasuk dalam senarai ini.
Kebanyakan bajet produksi bagi drama bersiri ini telah digunakan untuk pembayaran perfileman di luar negara iaitu di Maghribi dan Portugal dan juga bayaran kepada pelakon-pelakonnya.
Anggaran kos keseluruhan: 25 bilion won (RM91,976,720.80).
7. Legend of the Blue Sea
Salah satu rancangan drama Korea yang dilakonkan oleh Lee Min-ho dan Jun Ji-hyun turut tersenarai iaitu Legend of the Blue Sea, sebuah drama fantasi romantik.
Sebahagian bajet produksi yang dihabiskan untuk pelakon-pelakon utama ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan tetapi kos yang tinggi tersebut juga disebabkan oleh penataan kesan khas buat watak ikan duyung.
Bukan itu sahaja, drama yang turut dirakamkan di luar negara iaitu di Sepanyol dan Palau ini juga menyebabkan kos produksinya tinggi.
Anggaran kos keseluruhan: 22 bilion won (sekitar RM80,970,194.76).
8. Crash Landing On You
K-Drama yang cukup terkenal, Crash Landing On You ini dikatakan mempunyai bajet sebanyak 20 bilion won (sekitar RM73,599,699.22) yang memberi peluang untuk drama ini difilemkan di Switzerland.
Rancangan bersiri ini juga turut dibintangi oleh barisan pelakon yang bukan calang-calang hebatnya, Hyun Bin dan Son Ye-jin.
Perekaan semula babak-babak di Korea Utara dan juga kostum-kostum yang mewah buat watak Son sebagai seorang anak orang kaya juga turut menyumbang kepada faktor kos pembikinan drama ini tinggi.
Anggaran kos keseluruhan: 20 bilion won (sekitar RM73,599,699.22).
9. Vincenzo
Sebuah drama bergenre aksi komedi, Vincenzo yang dibintangi oleh pelakon ternama Song Joong-ki semestinya sudah menjadi salah satu sebab kos produksi bagi drama ini tinggi memandangkan Song Joong-ki merupakan salah satu pelakon yang termahal per episod.
Walaupun drama ini tidak difilemkan di luar negara kerana pandemik yang melanda, rancangan ini menggunakan kos yang banyak untuk kesan-kesan khas seperti efek letupan.
Tidak termasuk juga pakaian-pakaian yang mewah dan berjenama serta pelbagai jenis jam tangan mahal diperagakan oleh pelakon utama tersebut.
Anggaran kos keseluruhan: 20 bilion won (sekitar RM73,599,699.22).
10. Hotel Del Luna
Semua pakaian yang kelihatan mewah dan gah yang diperagakan oleh IU dalam Hotel Del Luna sudah semestinya mencecah harga yang sangat tinggi.
Siri fantasi ini turut menyertakan elemen-elemen fantasi dan kesan-kesan khas serta rekaan set yang berbeza-beza, bintang jemputan dan juga pakaian yang sememangnya fashionable.
Anggaran kos keseluruhan: 20 bilion won (sekitar RM73,599,699.22).
Untuk baca artikel-artikel lain berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah: