#LejenFlix: Karya Filem Kolaborasi Malaysia-Indonesia Yang Perlu Anda Tonton

Dunia lakon layar semakin melonjak naik bersama peredaran zaman. Pelbagai penghasilan karya filem telah dihasilkan dengan mengetengahkan keunikan inputnya yang tersendiri.

Di Malaysia juga kita dapat saksikan bagaimana wujudnya perspektif yang berbeza terhadap penerimaan unsur-unsur atau genre filem dalam kalangan masyarakat umum. Isu-isu mengenai sesebuah filem sering dikupas serta dibahas bagi memberi nilai kepada karya tersebut, bukan sahaja pada asas tempatan, tetapi juga pada tahap antarabangsa.

Mengapa pentingnya validasi di mata dunia? Kita boleh lihat dan akui filem-filem Hollywood memberi impak yang besar terhadap orang ramai, malah turut menjadi sasaran dan impian mereka yang ingin membina nama di peringkat ini. Industri perfileman mewujudkan persaingan melalui jurang itu.

Malaysia tidak kurang hebatnya kerana kita juga memiliki orang-orang ternama dan terulung yang sama bikin pecah panggung. Tambahan pula, industri filem Malaysia banyak membuat kolaborasi dengan negara-negara lain seperti Singapura, Brunei, China dan banyak lagi.

Namun begitu, sambutan tinggi ditunjukkan apabila terhasilnya kolaborasi filem antara dua negera berjiran yang terikat seperti adik-beradik iaitu negara Malaysia dan Indonesia. Itulah dia masyarakat serumpun; berkongsi budaya serta bahasa, pertalian ini dipegang erat sehingga ke lakon layar.

Ini adalah senarai filem antara kolaborasi Malaysia-Indonesia yang perlu anda tonton, serta mampu menyentuh hati, jiwa dan minda penonton dalam pelbagai cara.

1. Perjalanan Pertama

Kerjasama Mahakarya Pictures dari Indonesia dan D Ayu Pictures dari Malaysia melahirkan idea sebuah karya kreatif yang bertema kekeluargaan. Filem yang diarahkan oleh Arief Malinmudo menampilakan dua orang pelakon utama mewakili setiap negara iaitu pelakon kanak-kanak Muzzaki Ramdhan, dan pelakon veteran Dato’ Ahmad Tamimi Siregar.

Gandingan pasangan pelakon hebat ini menggambarkan hubungan seorang atuk dan cucu dalam filem tersebut. Ikuti @perjalanan_pertama di Instagram untuk info lebih lanjut mengenai tayangannya yang bakal diumumkan kelak.

2. Bukan Cinta Malaikat (2017)

Hasil terbitan melalui kerjasama rapat Ace Motion Pictures dan Ganesa Perkasa Films, kolaborasi ini mempamerkan kisah cinta antara Dewi (Nora Danish) dan Reyhan (Fanchry Albar). Konflik perasaan yang berputik di Madinah dan merentasi negara ini dihadapkan dengan ujian menerusi watak Adam (Ashraf Muslim) dan Aliyah (Donita).

Sumber: fimela

Bagaimana terungkapnya kisah mereka di penghujung cerita? Adakah cinta dapat mengatasi segalanya? Filem romantis arahan Aziz M. Osman ini menantikan tontonan anda.

3. Wira (2019)

Mencari judul filem aksi yang buat anda tak senang duduk di hadapan skrin? Ditayangkan di pawagam pada 21 November 2019, filem Wira diarahkan oleh Adrian Teh, iaitu pengarah sama bagi filem gempak Paskal The Movie.

Barisan pelakon juga bukan calang-calang; Hairul Azreen, Fify Azmi, Ismi Melinda, Hilal Azman, Josiah Hogan, Dain Said, Yayan Ruhian dan ramai lagi berganding bahu demi menjayakan filem ini.

Mempamerkan kehebatan seni mempertahankan diri, elemen aksinya menjadi tumpuan ramai.

Di sebalik pertempuran ganas, terdapat juga mesej-mesej penting yang cuba disampaikan seperti masalah penindasan sosial masyarakat serta elemen kekeluargaan. Sangat sesuai buat mereka yang mencari sebuah karya yang membawa nilai tinggi dan mempersoalkan norma umum.

4. Zharfa (2019)

Zharfa mengisahkan seorang gadis bernama Zharfa yang mempunyai banyak masalah. Ia dibintangi pelakon-pelakon Indonesia dan Malaysia seperti Donny Alamsyah, Kaka Azraff, Shelomita, Betari Ayu, Anindi Zharfa, Berlando Deton, Piet Pagau, dan Wawan Ruswandi.

Zharfa yang ditinggalkan ayah kandungnya sejak kecil, mula terjebak dengan perbuatan jenayah apabila dewasa. Hal ini menyebabkan Zharfa dihantar ke sekolah agama berasrama di sebuah kampung yang terletak di Jawa Barat, Indonesia.

Kesemua kolaborasi hebat antara dua negara ini merupakan permata dalam penghasilan karya perfileman. Banyak unsur yang boleh dikaji dan kita juga dapat melihat identiti unik bagi setiap negara walaupun dilakonkan di bawah satu payung.

Artikel-artikel berkaitan untuk dibaca:

Artikel Lain Untuk Di Baca