#LejenFlix: Ini Sebab Kenapa Anda Perlu Tonton ‘The Penthouse: War In Life’

Sekiranya sudah bosan dengan drama romantik di televisyen, apa kata anda tonton drama The Penthouse: War In Life? Drama ini berkisar tentang kehidupan orang kaya yang duduk di sebuah kompleks pangsapuri mewah di Gangnam bernama Hera Palace.

Dibintangi oleh barisan pelakon yang hebat seperti Lee Ji-ah, Kim So-yeon, Eugene, Um Ki-joon dan Yoon Jong-hoon, drama ini mengambil tempat di Hera Palace. Hera Palace ini mempunyai 100 tingkat dan ia hanya boleh didiami oleh golongan kelas atasan.

Pada pendapat kami, drama ini sesuai ditonton oleh mereka yang meminati jalan cerita yang penuh konflik dan agak berat. Anda sebagai penonton akan terkesan dengan drama ini dan rasa sakit hati sehingga mahu beri penampar kepada watak-watak antagonis dalam cerita ini.

Mana tidaknya, semua watak antagonis dalam drama ini kelihatan seperti tidak mempunyai perasaan bersalah langsung ketika melakukan perkara jahat.

Namun, watak yang paling meninggalkan kesan kepada penulis ialah Cheon Seo-jin (Kim So-yeon). Seo-jin ialah seorang penyanyi opera terkenal yang kaya, jahat dan sombong. Lakonan So-yeon sebagai Seo-jin dalam drama ini memang menjadi pada pandangan penulis kerana memang jahat habis.

Begitu juga dengan Joo Dan-tae (Um Ki-joon). Sekiranya anda pernah menonton drama yang dibintangi oleh Ki-joon sebelum ini, beliau merupakan seorang pelakon yang versatil dan memang menjiwai watak. Penulis juga percaya bahawa tidak ada individu lain yang boleh bawa watak Dan-tae kecuali Ki-joon.

Dalam pada itu, penulis suka drama ini kerana ia membawa isu-isu berat yang juga berlaku di sekeliling kita seperti isu buli dan diskriminasi antara orang kaya serta miskin.

Kita boleh lihat dengan jelas bagaimana individu yang berada di dalam golongan elit boleh dapat apa sahaja yang mereka mahu tanpa perlu memikirkan kesan buruk daripada tindakan mereka namun ia berbeza buat mereka yang kurang bernasib baik kerana perlu berjuang untuk mencapai impian setiap hari.

Sementara itu, tinjauan penulis di laman Twitter mendapati rata-rata warganet sudah jatuh cinta dengan drama ini:

Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca lebih banyak artikel berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca