#LejenFlix: Ini Sebab Kenapa Anda Perlu Tonton ‘Our Blues’

Selepas lapan episod, drama bersiri Our Blues masih lagi mencuri perhatian orang ramai apabila ia kekal dalam senarai 10 rancangan televisyen terkenal dalam kalangan penonton Netflix Malaysia.

Dibintangi barisan pelakon terkenal dan pemenang anugerah seperti Lee Byung-hun, Shin Min-a, Lee Jung-eun, Uhm Jung-hwa, Han Ji-min, Kim Woo-bin, Kim Hye-ja, Go Doo-shim, Park Ji-hwan dan Choi Young-joon, Our Blues merupakan drama omnibus yang membawa kisah manis dan pahit pelbagai individu yang menetap di Pulau Jeju.

(Dari kiri ke kanan): Lee Byung-hun, Shin Min-a, Cha Seung-won, Lee Jung-eun, Uhm Jung-hwa, Han Ji-min dan Kim Woo-bin. Sumber: Kimchi Daily

Pada pendapat kami, konsep Our Blues ini menarik kerana ia menggunakan konsep penceritaan yang unik dan berbeza dalam dunia K-Drama.

Kami akan kongsikan lima sebab kenapa anda perlu menonton drama terbaharu tulisan penulis terkenal Noh Hee Kyung dalam artikel ini.

1. Gandingan omnibus dan Pulau Jeju

Sumber: Kimchi Daily

Drama arahan Kim Kyu-tae ini berjaya menarik perhatian orang ramai kerana ia menggabungkan keindahan Pulau Jeju bersama konsep omnibus.

Memetik laporan Soompi, penulis drama ini iaitu Noh Hee Kyung menjelaskan sebab kenapa dia menulis drama ini dalam format omnibus.

“Saya sudah semakin penat dengan kisah yang menampilkan satu watak utama lelaki dan satu heroin sahaja. Setiap orang adalah watak utama dalam kehidupan masing-masing tetapi kenapa semuanya hanya berputar di antara dua orang sahaja dalam drama? Persoalan itu membawa saya untuk menulis Our Blues dalam gaya omnibus,” ujarnya.

2. Fokus episod berbeza

Sumber: Pinkvilla

Setiap episod menceritakan kisah berdasarkan perspektif satu atau dua watak utama daripada 14 watak yang terlibat dalam drama ini.

Berbeza dengan kebanyakan K-Drama yang selalunya berputar di antara satu atau dua watak utama dan jalan ceritanya, Tally Press melaporkan Our Blues menampilkan sedikit kelainan kerana para penonton dapat melihat dunia dari perspektif setiap watak seolah-olah mereka semua adalah watak utama.

Episod kegemaran kami setakat ini adalah episod lapan yang menampilkan Jung In-gwon (Park Ji-hwan) dan Bang Ho-sik (Choi Young-joon) sebagai watak utamanya.

Sekiranya menonton drama ini, anda akan lihat bagaimana In-gwon dan Ho-sik sering bergaduh. Dalam episod tujuh dan lapan, para penonton akhirnya dapat tahu bagaimana hubungan In-gwon dan Ho-sik mula renggang walaupun mereka merupakan sahabat baik suatu ketika dahulu.

Selain backstory In-gwon dan Ho-sik, kami menyukai episod lapan secara peribadi kerana kita dapat melihat pengorbanan kedua-dua bapa tunggal itu dalam membesarkan anak mereka.

3. Barisan pelakon yang mantap

Sumber: Kimchi Daily

Tarikan utama Our Blues sudah semestinya barisan pelakon yang membintangi drama ini. Dengan menonton drama ini, anda dapat melihat pelbagai watak dan kehidupan berbeza.

Setiap watak mempunyai kisah tersendiri dan drama ini akan mengikuti bagaimana mereka melalui liku-liku kehidupan yang penuh masam, manis dan pahit.

4. Drama kemunculan semula Kim Woo-bin

Sumber: Instagram @____kimwoobin

Kim Woo-bin baru sahaja kembali aktif dalam dunia lakonan selepas berehat lama kerana disahkan menghidapi kanser nasopharyngeal (barah pangkal hidung) pada tahun 2017. Our Blues merupakan drama pertama Woo-bin selepas enam tahun.

Woo-bin membawa watak Park Jeong-jun iaitu seorang kapten bot memancing. Jeong-jun mencari seorang wanita yang tidak akan meninggalkan Pulau Jeju dan akhirnya jatuh cinta dengan Lee Yeong-ok (Han Ji-min).

Sumber: Soompi

Bukan sahaja Woo-bin, ia turut menandakan kepulangan Lee Byung-hun ke skrin kecil selepas empat tahun. Ini merupakan kemunculan semula Byung-hun dalam drama selepas membawa watak sebagai Eugene Choi dalam Mr Sunshine pada 2018.

Berbeza dengan watak Eugene Choi yang segak, Byung-hun membawa watak Lee Dong-seok dalam drama ini iaitu seorang jurujual yang menjual pelbagai barang dari lorinya di Pulau Jeju.

5. Mesej harapan

Sumber: Soompi

Apabila ditanya tentang mesej yang mahu ditinggalkan buat penonton Our Blues, penulis Noh Hee-kyung menjawab bahawa blues adalah lagu di mana orang yang berada dalam kesakitan menyanyi untuk membuatkan rasa sakit itu hilang.

“Saya berharap ia menjadi seperti festival. Walaupun terdapat kesan luka, saya berharap drama ini menyeronokkan seperti pesta keramaian buat anda semua,” tambahnya.

Pengarah Kim Kyu-tae pula berkata, “Anda akan menemui ‘awak’ yang mahu menjadi lebih bahagia apabila menonton drama ini. Saya berharap drama ini akan kekal menjadi sebuah naskhah yang menyejukkan hati dan menggembirakan para penonton.”

Kesimpulannya, Our Blues adalah pilihan terbaik untuk penggemar drama slice of life kerana jalan ceritanya yang realistik tetapi ia mungkin sedikit membosankan sekiranya anda tidak meminati genre ini.

*Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca lebih banyak artikel berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca