#LejenFlix: Ini Sebab Kenapa Anda Perlu Tonton ‘One Two Jaga’

Wang ialah raja. Siapa antara anda yang pernah menonton One Two Jaga?

Ia berkisar tentang seorang pegawai polis muda bernama Hussein (Zahiril Adzim) yang cuba berpegang kepada prinsip apabila dia mengesyaki rakan sekerjanya iaitu Hassan (Rosdeen Suboh) selalu menerima duit kopi.

Selain itu, One Two Jaga turut mengangkat isu-isu lain seperti salah guna kuasa daripada pihak polis dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disifatkan orang ramai seperti menyamai beberapa tindakan pegawai penguatkuasa berkenaan baru-baru ini.

Pada pendapat penulis, klimaks filem ini adalah apabila Sumiati (Asmara Abigail) iaitu adik kepada Sugiman (Ario Bayu) ditahan oleh pihak polis di Hotel Merdeka.

Hal ini demikian kerana para penonton mungkin tidak akan tahu siapa sebenarnya yang membenarkan jenayah-jenayah ini terus berlaku tanpa kewujudan babak tersebut.

Namun, apa yang paling menarik perhatian penulis ialah Hotel Merdeka yang menjadi tempat tinggal sementara kepada Sumiati, Marzuki dan Rico ini pula berbeza sekali dengan nasib yang menimpa mereka. Ketiga-tiga individu berkenaan tidak merdeka kerana hidup dalam buruan.

Ia mengambil inspirasi daripada kisah-kisah sebenar melibatkan sisi gelap pihak polis yang suka bermuka-muka untuk menjatuhkan hukum terhadap seseorang.

Jalan cerita filem ini memaparkan bagaimana rasuah ini boleh diibaratkan sebagai rantaian makanan. Selagi tidak ada pihak yang meletakkan titik noktah pada langkah individu yang berada di puncak rantaian tersebut, gejala rasuah ini tidak akan menemui penamatnya.

Hassan menjadi mangsa keadaan kerana bekerja dengan pegawai atasan yang korup. Akibat sikapnya yang suka berjanji, Hassan perlu menanggung akibatnya dengan mencari mangsa untuk memenuhi kehendak keluarga isterinya.

Mangsa pula kebiasaannya terdiri daripada golongan yang bergelut dalam menempuh liku-liku kehidupan yang mencabar. Apabila individu berkenaan mempunyai pangkat yang lebih tinggi, sudah tentu mereka menerima wang habuan lebih besar daripada mangsa.

Filem arahan Nam Ron ini merupakan sebuah karya yang membuatkan para penonton tidak senang duduk sehingga ke saat-saat terakhir. Bagi penulis, filem ini sangat relatable kerana beberapa perkara yang berbangkit di dalam filem One Two Jaga ini kelihatan sama seperti isu-isu yang sedang hangat diperkatakan pada masa ini.

Selain itu, visual dan sinematografi yang dipaparkan dalam filem ini sangat cantik dan memuaskan. Babak soal siasat antara pihak polis dan Hussein pada permulaan filem ini benar-benar membuat penulis tertanya tentang pengakhirannya.

Sementara itu, tinjauan penulis mendapati rata-rata warganet amat berpuas hati dengan filem ini:

*Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk membaca artikel lain berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca