#LejenFlix: Ini Sebab Kenapa Anda Perlu Tonton ‘Kingdom: Ashin Of The North’

Disukai ramai kerana mempunyai jalan cerita yang unik, episod khas siri Kingdom iaitu Kingdom: Ashin of the North menemui para peminat di Netflix pada 23 Julai lalu.

Kami akan kongsikan lima sebab kenapa anda perlu menonton Kingdom: Ashin of the North yang diterajui Jun Ji-hyun dan Park Byung-eun menerusi artikel ini:

1. Penceritaan yang penuh kompleks

(Dari kiri ke kanan): Kim Seong-hun, Kim Roi-ha, Kim Si-a, Jun Ji-hyun, Park Byung-eun, Kim Eun-hee dan Koo Kyo-hwan. Sumber: Instagram Netflix Korea

Dunia Kingdom sebenarnya kaya tetapi kompleks pada masa yang sama. Pengarah Kim Seong-hun menjelaskan bahawa siri Kingdom mempunyai ramai peminat kerana jangkitan yang berlaku disebabkan ketamakan dalam musim pertama dan sejauh mana si tamak mahu mendapatkan kuasa dalam musim kedua.

Beliau turut menjanjikan pendedahan penting dalam episod khas ini akan membuatkan penonton teruja tentang permulaan asal kisah Kingdom.

Ia membuatkan para penonton secara tidak langsung ingin tahu apa yang berlaku dalam musim pertama dan kedua sekiranya mereka belum pernah menyaksikannya lagi.

2. Karya terbaik Kim Eun-hee

Sumber: Soompi

Pengarah siri Kingdom itu turut mendedahkan apa yang pernah diberitahu beliau kepada penulis Kim Eun-hee sebelum ini, “Saya tahu Eun-hee merupakan penulis yang hebat tetapi ini adalah garapan terbaik beliau setakat ini.”

Jun Ji-hyun yang membawa watak Ashin dalam episod khas ini menjelaskan bahawa beliau merupakan penonton setia Kingdom, “Saya berjumpa penulis Kim Eun-hee di sebuah acara tertutup.

Saya beritahu beliau bahawa saya merupakan peminat dan sanggup muncul sebagai zombi ataupun watak kecil sahaja.”

3. Barisan pelakon yang hebat

Sumber: Instagram Netflix Korea

Apabila nama Jun Ji-hyun diumumkan sebagai teraju utama Kingdom: Ashin of the North, para peminat di seluruh dunia pastinya teruja dan tidak sabar menantikan penampilan beliau dalam episod khas ini.

Penulis skrip Kingdom turut mendedahkan bahawa beliau adalah peminat aktres itu dengan berkata, “Saya merupakan peminat Jun Ji-hyun dan sangat kagum dengan spektrumnya yang luas sebagai pelakon.

Ji-hyun dianggap sebagai permaisuri komedi romantik tetapi saya juga sukakan emosi penderitaan mendalam yang ditonjolkan oleh beliau dalam filem seperti Assassination dan The Berlin File.”

Selain Ji-hyun, Kingdom: Ashin of the North turut menampilkan barisan pelakon yang hebat seperti Park Byung-eun, Kim Si-a, Kim Roi-ha dan Koo Kyo-hwan.

4. Sisi lain Kingdom

Sumber: Soompi

Untuk pengetahuan anda, Kingdom: Ashin of the North berlaku sebelum wabak zombi tercetus di dalam musim pertama dan kedua. Episod khas ini mengambil tempat di sempadan Sungai Amnok dan ia memberi gambaran tentang pertelagahan antara kumpulan berbeza.

Eun-hee berkata, “Saya bermula dengan memikirkan di mana kawasan kebangkitan itu pada asalnya. Saya berharap agar dapat memuaskan rasa ingin tahu orang ramai tentang siapa Ashin dan apa yang berlaku di wilayah selatan.

Saya banyak berfikir tentang kawasan kebangkitan itu dan mengkaji pelbagai bahan untuknya. Kawasan itu mempunyai ciri yang sejuk jadi saya mula berminat dengan wilayah selatan.

Saya mula terbayang apa yang akan berlaku sekiranya tumbuhan itu membiak di kawasan berkenaan.”

5. Kingdom disukai ramai

Seong-hun berkata siri arahan beliau mungkin disukai ramai kerana ia berkisar tentang kisah sejarah manusia, “Saya sukakan Kingdom kerana kami menciptanya bersama.

Sekiranya anda membandingkan projek lain dalam genre sama, siri Kingdom menampilkan sejarah manusia iaitu ketamakan, keinginan dan kuasa termasuk konsep sakit, penderitaan atau kesedihan.

Saya percaya semuanya tercipta dengan harmoni sehingga mencapai reaksi kimia yang saya rasa menjadi kunci ia disukai peminat di seluruh dunia.”

Sumber: Instagram Netflix Korea

Ji-hyun turut menjelaskan bahawa beliau suka Kingdom kerana ia boleh dirujuk sebagai seni komprehensif tersendiri.

“Saya sukakan Kingdom kerana ia bukan siri spesifik yang boleh diubah atau bergantung kepada pelakon sahaja. Ia berdasarkan skrip yang rapi, pengarahan hebat dan seni mengasyikkan.

Kingdom boleh dirujuk sebagai seni komprehensif tersendiri. Saya rasa kagum dan berbangga kerana sesuatu seperti Kingdom mampu dicipta di Korea dan dibawa ke seluruh dunia,” jelasnya.

Anda boleh tonton trailer penuh Kingdom: Ashin of the North di bawah.

Untuk baca artikel-artikel lain berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca