#LejenFlix: Ini Sebab Kenapa Anda Harus Tonton Drama Bersiri Terbaharu ‘Jalan Sesat Ke Syurga’

Seperti yang kita semua sedia maklum, drama-drama yang disiarkan di stesen televisyen tempatan rata-ratanya memaparkan plot penceritaan yang hampir sama atau dengan kata lainnya, klise. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa pengarah mahupun penulis skrip yang berani mengambil peluang dan risiko untuk mengupas isu-isu sensitif yang berlaku di negara kita.

Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter telah memuat naik satu trailer drama yang bertajuk ‘Jalan Sesat Ke Syurga’ yang dikatakan seram dan lain daripada drama yang sebelum ini pernah ditayangkan di Malaysia.

Jalan Sesat Ke Syurga merupakan sebuah drama bersiri 35 episod yang mengisahkan tentang Inara, seorang gadis periang yang gemar berpelesiran. Namun, selepas mengalami pengalaman ‘mati hidup semula’, Inara mula merasakan bahawa dia diberikan peluang kedua untuk membetulkan semua kesilapan lalu. Pada masa yang sama, Inara telah berkenalan dengan Hamzah.

Namun dalam mencari jalan kebenaran, dia keliru dengan fahaman Islam yang diamalkan oleh kedua ibu bapanya. Inara mula belajar tentang Hawa Islam tetapi Inara berasa ada sesuatu yang janggal tentang pertubuhan itu. Inara juga mula didedahkan dengan Gerakan Elit.

Drama Jalan Sesat Ke Syurga ini adalah berdasarkan kisah benar dan mengangkat isu ajaran sesat yang berlaku dalam masyarakat di negara kita. Drama arahan Suhaimi Zulkefli ini merupakan drama yang kini sedang ditayangkan di Slot Tiara, Astro Prima.

Pada pendapat penulis, menerusi trailer dan 5 episod yang telah disiarkan, jalan cerita drama ini adalah lain daripada drama melayu yang pernah ditonton sebelum ini. Setiap episod memberikan tanda tanya apakah yang bakal berlaku kepada Inara. Adakah dia berjaya menyelamatkan diri daripada memasuki ajaran sesat ibu bapanya ataupun sebaliknya.

Dan siapakah sebenarnya Hamzah? Adakah dia ditakdirkan untuk menyelamatkan Inara daripada ajaran sesat ibu bapanya ataupun adakah Hamzah sebenarnya mempunyai motif tersendiri? Penulis juga berpendapat bahawa drama ini bakal menjadi ‘trending’ topik di media sosial sama seperti drama Nur yang pernah ditayangkan di TV3 sebelum ini.

Sementara itu, tinjauan penulis di lamam Twitter mendapati rata-rata daripada warganet memberikan komen yang positif tentang drama ini.

Walau bagaimanapun, ada juga yang menganggap jalan cerita drama ini akan memberi ikutan kepada kanak-kanak bawah umur.

Drama bersiri ini dibintangi oleh pelakon hebat seperti Dato’ Aaron Aziz, Elizad Sharifuddin, Dato Jalauddin Hassan, Aleza Shadan, Zul Helmy dan ramai lagi.

Untuk pengetahuan, drama Jalan Sesat Ke Syurga telah mula ditayangkan di Astro Prima, pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 6 petang bermula 3 Ogos lepas.

Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel lain berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca