#LejenFlix: Hanya Dilakonkan Oleh 6 Orang Pelakon, Filem ‘Roh’ Bukan Filem Seram Klise

“Jangan percaya pada semua yang kau nampak atau dengar, dalam hutan.”

Itu adalah antara salah satu dialog yang dilontarkan dalam filem Roh. Filem yang terpaksa ditangguhkan akibat penularan wabak COVID-19, kini telah mendapat tarikh tayangan yang baru iaitu pada 6 Ogos 2020 tempoh hari.

Filem terbitan Kuman Pictures ini mengisahkan tentang sebuah keluarga daif yang tinggal di pinggir hutan. Mereka kemudiannya didatangi seorang kanak-kanak perempuan yang memberi ramalan misteri. Pelbagai peristiwa aneh berlaku selepas kejadian itu.

Filem arahan Emir Ezwan ini mengangkat isu mengenai perjuangan antara haq (kebenaran) dan batil. Elemen tanah (manusia dan fitrahnya) dan api (jin/syaitan/kejahatan) turut menjadi simbolik dalam filem ini.

Setiap watak dalam filem ini memainkan peranan yang penting. Bermula dengan Mak yang sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi anak-anaknya daripada maut. Namun, adakah anak-anaknya terselamat ataupun sebaliknya?

Watak Tok dan Pemburu, yang muncul secara tiba-tiba dan menimbulkan tanda tanya siapakah yang sebenarnya membawa watak anatagonis dan protagonis dalam filem ini?

Tidak dilupakan tiga orang watak kanak-kanak iaitu Along, Angah dan Adik yang pada pengakhiran filem ini turut menimbulkan tanda tanya apakah sebenarnya yang berlaku kepada mereka ini? Anda perlu tonton sendiri filem ini untuk mengetahui jawapannya.

Pada pendapat penulis, filem ini bukan sekadar filem seram yang mengandungi banyak elemen ‘jumpscare’ atau kemuculan hantu secara tiba-tiba, tetapi filem ini memerlukan penonton untuk berfikir apakah mesej dan metafora yang cuba disampaikan oleh pengarah. Penggunaan skor muzik dalam filem ini seolah-olah akan membawa anda turut sama merasai keseraman dan elemen mistik dalam filem ini.

Selain itu, visual dan sinematografi yang dipaparkan dalam filem ini adalah sangat cantik dan memuaskan. Walaupun penggambaran filem ini hanya mengambil masa selama 15 hari, tetapi hasilnya adalah sangat berkualiti. Pastinya setelah menonton filem Roh, anda akan terbayang-bayang kesan sinematik yang bertaraf antarabangsa ini. Apa yang pasti, walaupun filem ini agak ‘slow-burn’, tetapi pastinya anda tidak akan dapat menjangka pengakhiran filem ini.

Filem Roh telah membuktikan bahawa filem tempatan masih mampu memberikan hasil dan kualiti filem yang membanggakan walaupun dengan bajet yang hanya bernilai RM360,000.

Sementara itu, tinjauan penulis di laman sosial Twitter mendapati hampir kesemua warganet memberikan respon yang positif mengenai filem ini.

https://twitter.com/ammarfarhadi/status/1291231168742846464?s=20

Filem ini hanya dibintangi oleh 6 orang pelakon hebat dan berbakat besar iaitu Namron, Farah Ahmad, June Lojong, Mhia Farhana, Harith Haziq dan Putri Syahadah.

Untuk pengetahuan, filem Roh merupakan satu-satunya filem Malaysia yang dipilih untuk menyertai Festival Filem Antarabangsa Singapura 2019 dan Festival Filem Asia Jogja-NETPAC 2019. Filem in juga sudah membuat kemunculan di Festival Filem Far East (FEFF22) di Udine, Itali dan mendapat respon yang baik.

Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk membaca artikel lain berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca