#LejenFlix: Filem Untuk Ditonton Bersama Ayah Sempena Hari Bapa

Sempena Hari Bapa yang akan tiba tak lama lagi, anda pasti buntu memikirkan bagaimana cara untuk menyambut hari tersebut bersama bapa anda. Apatah lagi dalam keadaan kita yang masih terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

Memandangkan kita tidak dibolehkan untuk keluar rumah tanpa hal dan tujuan yang penting, apa kata anda layan movie marathon bersama bapa anda di rumah?

Berikut adalah senarai filem yang berkisahkan tentang pengorbanan seorang bapa yang anda boleh tonton bersama bapa tercinta.

I Am Sam (2001)

Sumber: Slant Magazine

Filem ini merupakan filem bergenre drama karya Jessie Nelson yang diterbitkan pada 20 tahun yang lalu iaitu pada tahun 2001.

Filem ini dibintangi oleh Sean Penn, Dakota Fanning, Michelle Pfeiffer, Dianne Wiest, Loretta Devine, Richard Schiff dan Laura Dern.

Filem ini telah mendapat banyak penghargaan dan salah satunya ialah anugerah Best Actor in a Leading Role yang dimenangi oleh Sean Pean pada Academy Award 2002.

Kisah ini mengisahkan Sam (Sean Penn) yang merupakan bapa tunggal yang merupakan seorang penghidap autistik dan memiliki IQ anak berusia tujuh tahun.

Sam harus membesarkan anak perempuannya yang bernama Lucy (Dakota Fanning) dengan kondisinya sebegitu kerana ibunya melarikan diri.

Pada awalnya, dia tidak berupaya untuk menjaga anak itu tetapi hasil pertolongan jirannya Annie (Dianne Wiest), Lucy akhirnya membesar menjadi seorang anak yang bijak dan mampu menghadapi ayahnya yang autistik.

Disangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari, ketika Lucy berusia tujuh tahun, pihak sekolah berasa bimbang dan meragukan cara Sam mengasuh anaknya.

Jadi, mereka pun membawa perkara ini ke muka pengadilan dan memanggil pihak berkuasa untuk menangani masalah ini.

Sam akhirnya terpaksa dibawa ke muka pengadilan dengan bantuan Rita (Michael Pfeiffer) untuk mendapatkan hak asuhannya ke atas Lucy.

Miracle in Cell No. 7 (2013)

Sumber: Netflix

Filem arahan Lee Hwan-kyung yang bergenre drama komedi ini menceritakan seorang bapa tunggal yang mempunyai masalah terencat akal yang dimasukkan ke dalam penjara kerana telah dituduh melakukan jenayah dan terpaksa berpisah dengan anaknya.

Lee Yong Goo, bapa tunggal tersebut telah ditempatkan di ‘Cell No 7’ di sebuah penjara yang mempunyai kawalan yang ketat dan maksimum.

Yong Goo telah menyelamatkan nyawa penghuni satu selnya, So Yang Ho, yang juga merupakan ketua geng penjara tersebut.

Sebagai balasan, Yang Ho telah menyeludup anak Yong Goo, Lee Ye Seung ke dalam sel nombor tujuh itu.

Kesemua penghuni sel Yong Goo mula menjadi rapat dengannya dan dapat merasakan bahawa dia merupakan seorang lelaki yang baik.

Mereka cuba untuk membuktikan bahawa Yong Goo tidak bersalah sewaktu persidangan.

Filem ini bukan sahaja menunjukkan kasih sayang bapa kepada anaknya yang cukup besar tetapi juga semangat setia kawan dan pengorbanan terhadap orang yang kita sayang.

Miracle in Cell No. 7 ini juga mempunyai versi dalam bahasa Turki dengan jalan cerita yang sama.

Bisik Pada Langit (2017)

Sumber: mStar

Filem Bisik Pada Langit yang diarahkan oleh Kabir Bhatia ini telah mendapat sambutan yang hangat daripada rakyat Malaysia pada pertama kali filem ini dikeluarkan pada September tahun 2017.

Dibintangi Jalil Ahmad, Ummi Nazeera, Beto Kusyairy, Naim Daniel, Erwin Dawson dan Fadilah Mansor, filem ini bukanlah seperti cerita-cerita romantik yang kita sering tonton, tetapi ianya mempunyai latar kekeluargaan.

Bisik Pada Langit mengisahkan Hajar yang dilakonkan oleh Ummi Nazeera, satu-satunya anak perempuan dalam keluarganya, yang melanjutkan pelajarannya di Australia.

Malangnya, Hajar telah mengalami sebuah kemalangan yang menyebabkan dia terlantar koma di hospital.

Sepanjang filem tersebut, anda dapat melihat betapa besarnya kasih sayang serta pengorbanan seorang bapa kepada anaknya.

Kepada sesiapa yang menonton cerita ini, anda dijamin akan menangis semahu-mahunya kerana filem ini menyentuh beberapa babak yang sememangnya real dan dapat kita relatekan dengan situasi dalam kehidupan sebenar.

Untuk baca artikel-artikel lain berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca