Incantation merupakan sebuah filem seram pecah panggung di Taiwan dan kini sudah berada di Netflix.
Selain popularitinya di Netflix baru-baru ini, filem tersebut dengan pantas memecahkan beberapa rekod untuk filem buatan Taiwan.
Filem ini berjaya mengutip sebanyak NT$170 juta (AS$5.68 juta) sejak ia dikeluarkan pada 18 Mac, sekali gus mencatatkan rekod jualan tertinggi tiket untuk filem seram Taiwan.
Diarahkan oleh Kevin Ko, filem ini mengisahkan peristiwa paranormal yang dialami oleh seorang wanita bernama Ronan (Tsai Hsuan-yen) telah melanggar pantang larang di sebuah tempat pemujaan.
Asal usul sumpahan itu berpunca daripada perjalanan yang dilakukan Ronan bertahun-tahun sebelumnya iaitu semasa melawat kawasan terpencil di wilayah Yunnan.
Dia melanggar pantang larang agama, tetapi tidak menyedari bahawa mantera itu akan menjejaskan orang yang disayanginya.
Bertahun-tahun kemudian, Ronan bertemu semula dengan anak kandungnya Dodo (Huang Sin-ting) dan barulah peristiwa ghaib dan menyeramkan mula berlaku.

Filem berdurasi hampir dua jam ini mempunyai jalan cerita dan plot yang digarap dengan baik sehinggakan tahap seramnya sangat mendebarkan.
Dari segi naratif, Incantation sebenarnya menggunakan teknik ‘found footage’ yang dilihat seolah-olah kejadian yang benar berlaku. Teknik ini sangat sesuai dipakai dalam genre seram.
Terdapat dua perbezaan pendapat mengenai ulasan keseluruhan filem ini. Ada di antara penonton memuji karya ini sangat bagus dan luar biasa.
Namun begitu, sebahagiannya pula merasakan filem ini agak bosan kerana penceritaannya yang agak lambat serta tidak seram seperti yang digembar-gemburkan di media sosial.
Secara keseluruhan, Incantation merupakan antara filem seram yang tersedia dalam Netflix untuk tahun 2022.
Barangkali ada yang membantah pernyataan dengan merasakan filem ini tidak sehebat filem seram lain.
Namun begitu, terpulang kepada mereka kerana setiap orang mempunyai pandangan masing-masing.
Anda boleh tonton trailer Incantation di bawah.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: