Filem pendek yang bertajuk Made In Malaysia terbitan The Grim Film telah diterbitkan pada bulan Ogos tahun lalu dan disiarkan di laman YouTube. Filem pendek arahan Jared Lee ini menarik perhatian penulis untuk berkongsi pandangan selepas menontonnya.

Made In Malaysia mengisarkan tentang seorang wanita bernama Aisha yang pulang ke tanah airnya selepas lima tahun merantau di negara orang. Kepulangannya itu disambut gembira oleh ibunya sendiri. Filem ini memaparkan bahawa Aisha seakan sudah sedar walau jauh mana pun kita merantau, tetap akan kembali ke tempat asal.
Watak Aisha yang dilakonkan oleh Sharifah Aleysha itu menggambarkan seorang wanita yang tekad untuk tinggal di luar negara kerana tidak suka terhadap beberapa perkara tentang negaranya sendiri.
Sehinggalah pada suatu hari, dia kembali pulang ke Malaysia, mungkin kerana terasa ‘rindu’ terhadap ibunya dan mugkin juga dia sudah sedar di mana asal usul dirinya kerana sudah terlalu lama merantau di negara orang. Pendiriannya yang sebelum ini seakan sudah berubah.
Dia mencerita kepada ibunya tentang apa yang dia lalui sepanjang menetap di luar negara. Watak ibu yang dilakonkan oleh Fatimah Abu Bakar seakan amat memahami anak kesayangannya itu.

Watak ibu ini memaparkan seorang ibu yang menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh anaknya itu walaupun dia sangat merindui anaknya ketika berjauhan. Aisha meluahkan segala yang dirasai olehnya ketika merantau kepada ibunya. Bukanlah dia tidak gembira berada di negara luar, tetapi ada sesuatu yang membuatkan dia kembali ke tanah airnya sendiri. Mungkin perasaan yang tidak dapat digambarkan.
Akhirnya, dia bertekad untuk kekal menetap di negara asalnya. Kerana sedar, dia patut berbangga dengan tanah airnya sendiri.

Filem pendek yang berdurasi 9 minit 48 saat ini digarap dengan baik sekali dari segi mesej dan intipati yang ingin disampaikan. Jalan cerita yang mudah difahami penonton membuatkan penyampaian sesuatu isi itu berlaku. Tiada scene berat atau sukar difahami, semuanya digambarkan secara jelas.
Filem ini juga memaparkan sedikit unsur kritikan sosial terhadap masyarakat Malaysia. Ya, kritikan yang ditonjolkan itu memang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Kritikan itu ditujukan terhadap sikap dan cara pemikiran rakyat Malaysia yang rata-rata pasti ‘terasa’ kerana ia begitu dekat dengan kita.
Pengajaran yang paling jelas ingin ditonjolkan ialah, walau di mana pun kita berada, kita tetap kembali ke tempat asal kita. Ia menunjukkan bahawa rasa cinta terhadap negara itu amat penting dan perlu dipupuk di dalam jiwa. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga dengan negara kita sendiri. Jika bukan kita yang bangga, siapa lagi?
Filem pendek ini sedikit sebanyak telah menyedarkan penulis bahawa buruk macam mana pun negara kita, ia tetap menjadi tanah tumpahnya darah kita. Sikap serta pemikiran itu adalah tanggungjawab individu itu sendiri, jika kita ingin menjadi masyarakat yang lebih bertamadun, segala perkara yang buruk itu perlu kita ubah dan menjadi rakyat yang lebih berguna kepada negara.
“Want a better Malaysia, be a better Malaysian,” petikan daripada sepotong dialog dalam filem ini.
Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.
Untuk membaca artikel #LejenFlix yang lain, anda boleh klik pada pautan di bawah: