#LejenFlix: Dua Garis Biru Mengetengahkan Masalah Sosial Dalam Kalangan Remaja

Dibintangi oleh Angga Aldi Yunanda dan Adhisty Zara, para pelakon yang sedang meningkat naik di Indonesia, filem Dua Garis Biru ini mengetengahkan isu-isu sosial dalam kalangan remaja seperti isu hamil luar nikah dan isu kehamilan remaja.

Seperti yang kita tahu, isu-isu seperti kehamilan luar nikah, kehamilan remaja serta Pendidikan Seks seringkali dianggap sebagai isu tabu dalam kalangan masyarakat khususnya masyarakat Islam di Asia Tenggara.

Walaupun pada hakikatnya, isu-isu yang dianggap tabu ini sudah semakin berleluasa tanpa mengira bangsa atau agama seiringan dengan zaman yang di arus kemodenan.

Sumber: The Jakarta Post

Filem Dua Garis Biru ini merupakan adaptasi daripada novel karya Lucia Priandarini dan mengisahkan pasangan kekasih remaja, Dara, anak pintar yang berasal dari keluarga yang senang dan Bima, anak kampung yang kurang menonjol secara akademik di sekolah.

Kedua-dua pasangan kekasih ini telah melakukan kekhilafan yang sangat besar bagi remaja seumuran mereka. Akibatnya, Dara didapati hamil anak luar nikah seawal usia 17 tahun.

Dalam filem arahan Gina S. Noer tersebut, ia menunjukkan Dara dan Bima yang cuba untuk menangani situasi tersebut dengan menyembunyi hal itu daripada ibu bapa mereka. Namun akhirnya, rahsia mereka terbongkar dan sampai ke pengetahuan orang tua mereka.

Sumber: Twitter

Para penonton dapat menyaksikan cara-cara Dara dan Bima yang menghadapi masalah mereka sebagai remaja dengan emosi yang bergejolak. Salah satu adegan yang menjadi bualan orang ramai adalah adegan oneshot yang intens apabila kedua-dua ibu bapa Bima dan Dara mengetahui rahsia mereka.

Filem Dua Garis Biru yang ditayangkan selepas novelnya diterbitkan telah mendapat pelbagai reaksi dan pandangan masyarakat di Indonesia mengenai cerita tersebut.

Sumber: Gempak

Ada yang menganggap bahawa cerita ini telah meranggas semua stereotaip cerita-cerita cinta remaja dengan sebuah jalan cerita yang berlainan kerana lebih realistik dengan realiti kehidupan dan menjadi salah satu medium untuk menyampaikan mesej tentang pentingnya Pendidikan Seks pada usia muda.

Namun begitu, tetap ada pandangan negatif yang timbul dalam kalangan masyarakat yang mengatakan bahawa filem ini memberi pengaruh yang buruk terhadap anak muda zaman sekarang dan akan mendorong anak muda untuk melakukan seks luar nikah sekaligus melahirkan masyarakat yang rosak pada masa akan datang.

Bahkan, terdapat petisyen yang menolak filem ini sebelum filem ini ditayangkan.

Bagi penulis, filem seperti ini sangat penting untuk kesedaran masyarakat betapa ceteknya pengetahuan kita tentang masalah sosial yang dihadapi para remaja.

Sumber: Liputan6

Filem ini bukan sekadar meletakkan fokus kepada pasangan kekasih remaja itu tetapi juga mendalami perspektif antara kedua-dua ibu bapa mereka dalam menghadapi isu tersebut.

Apa yang lebih menarik tentang filem ini ialah cara penyampaian mesejnya yang secara tersirat tanpa memerlukan sebarang unsur-unsur atau adegan-adegan ceramah yang meleret sekali gus memudahkan penonton untuk memahami situasi mereka tanpa harus menghakimi watak-watak tersebut.

Tidak kurang itu juga, filem tersebut telah dinominasi dan berjaya meraih lebih dari 20 buah anugerah. Dua Garis Biru ini ditayangkan di Shanghai International Film Festival pada Julai tahun lalu dan turut memenangi Anugerah Filem Negara Luar Terbaik, Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan Anugerah Pengarah Terbaik di Golden Gate International Film Festival.

Untuk baca artikel-artikel lain berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca