#LejenFlix: Dari Asia Ke Hollywood, Dua Pelakon Malaysia Berganding Dalam Filem ‘Shang-Chi And The Legend Of The Ten Rings’

Filem ‘Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings’ memecah panggung dengan tayangan umumnya yang bermula pada 3 September di kebanyakan negara di seluruh dunia.

Filem terbitan Marvel Studios ini menjadi bualan hangat kerana merupakan filem utama Hollywood pertama yang dibintangi adiwira berketurunan Asia.

Dengan penggambaran yang dibuat di Australia, filem ini menampilkan barisan pelakon terkenal yang telah membina nama di dunia sinema seperti Simu Liu, Awkwafina dan Tony Leung Chiu-wai.

Di antaranya juga, dua pelakon utama yang turut beraksi bersama Shang-Chi adalah Michelle Yeoh dan Ronny Chieng yang berasal dari Malaysia. Mungkin ramai yang mengenali Michelle Yeoh menerusi watak popularnya dalam filem blockbuster berjudul ‘Crazy Rich Asians’.

Pelakon wanita berusia 59 tahun ini telah mencipta nama untuk dirinya melalui pelbagai filem seni mempertahankan diri sejak beberapa dekad yang lalu. Kembali dengan lakonan beraksi, Michelle Yeoh membawa watak Jiang Nan dalam ‘Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings’.

Michelle memaklumkan bahawa dirinya masih selesa untuk melakukan babak stunt atau lagak aksinya sendiri.

Michelle Yeoh (kiri) bersama Simu Liu (kanan) dalam salah sebuah adegan ‘Shang-Chi And The Legend Of The Ten Rings’.
Sumber: Marvel Studios

“Ketika kami pertama kali bermula (lakonan) di Hong Kong, anda tidak mendapat bantuan dari CGI,” katanya dalam wawancara bersama The Guardian apabila menceritakan mengenai perubahan dalam melakukan lagak aksi dalam industri filem.

Meluahkan rasa cintanya terhadap projek filem ‘Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings’, Michelle berharap filem ini akan diadakan lanjutan (sequel) di masa akan datang.

Dalam pada itu, pelakon dan pelawak Ronny Chieng yang pernah digandingkan bersama Michelle Yeoh dalam filem ‘Crazy Rich Asians’ juga turut sama-sama membintangi filem terbaru Marvel ini dengan membawa watak sebagai Jon Jon.

Dari kiri: Awkwafina, Ronny Chieng, Simu Liu. Sumber: The Wrap

Menurut CNA, Ronny menyamakan watak Jon Jon dengan ‘Ah Beng’ yang merupakan stereotaip bagi orang Cina Singapura yang kasar dan suka bergaya dengan pakaian mahal.

“Sekiranya anda menonton filem itu, dia benar-benar ‘Ah Beng’! Saya tidak boleh memberikan spoiler kepada apa yang dilakukannya, tetapi pekerjaannya juga adalah ‘Ah Beng’!” Katanya dalam temu bual bersama CNA.

Dilahirkan di Johor Bahru, Malaysia, Ronny Chieng menghabiskan masa mudanya belajar di Singapura sebelum berpindah ke Australia dan kemudian Amerika Syarikat, di mana dia menetap buat masa kini.

“Saya bertutur dalam bahasa Cina dalam filem itu,” tambahnya. “Pada satu tahap, saya juga menyelitkan beberapa Bahasa Melayu dalam dialog. Jon Jon memang sangat ‘Ah Beng’!”

Ronny Chieng juga mengatakan bahawa pengarah filem tersebut, Dustin Daniel Cretton, telah mendorong kepelbagaian dalam representasi Cina dalam produksi.

“Dia memberitahu bahawa dia ingin tempat ini untuk memiliki bidang internasional, dan bukan hanya negara tertentu,” katanya.

Berikutan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) di Malaysia, Filem ‘Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings’ bakal melanda pawagam seluruh negara untuk tontonan umum secara rasminya tidak lama lagi.

Artikel berkaitan lain untuk dibaca:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca