#LejenFlix: Choose Or Die (2022), Konsep Yang Menarik Tapi Perlaksanaan Yang Pelik

Selesai sahaja menonton filem ini di Netflix beberapa hari yang lepas, penulis menekan papan kekunci telefon pintar, menaip di carian google “review filem Chooose Or Die.”

Ternyata di Google, filem ini mendapat skor yang rendah daripada rata-rata penontonnya lantas membuatkan penulis berasa sedikit aneh kerana bagi penulis ia tidaklah seteruk itu.

Dan jujur, bagi penulis cerita ini cukup seronok ditonton walaupun sebahagiannya agak keterlaluan, pelik dan logiknya tidak kena.

Filem ini mengisahkan tentang Kayla, seorang gadis yang bekerja membaik pulih alatan zaman 80-an di siang hari dan sebagai pencuci di malam hari demi menjaga ibunya yang kemurungan akibat kematian adik lelakinya.

Suatu hari dia dan kawannya, Isaac menemukan satu permainan video lama yang menawarkan sejumlah wang untuk pemenangnya. Berhasrat untuk mendapatkan wang itu, mereka memasang permainan video itu.

Di situlah bermula rentetan kejadian ngeri yang bakal menimpa diri Kayla. Di mana pada waktu yang sama pada setiap malam dia bakal terperangkap dalam satu situasi yang membuatkan dia harus memilih antara dua pilihan.

Dan setiap pilihannya akan berakhir sama ada dengan kematian seseorang ataupun kecederaan individu.

Untuk aspek konsep ceritanya, bagi penulis ia adalah satu konsep yang seronok. Idea di mana satu permainan video dapat mengubah realiti dan memerangkap pemainnya dalam situasi yang tegang sangat gempak. Seperti Jumanji tetapi lebih tekankan aspek seram dan ganas.

Namun mungkin pada perlaksanaanya yang sedikit lemah dan tidak begitu logik menyebabkan filem ini mendapat review yang rendah.

Pada awal cerita filem ini seperti menunjukkan potensi untuk jadi filem seram yang gempak, namun ternyata bahagian tengah sehingga akhir mempunyai babak-babak yang agak tidak masuk akal dan terlalu ‘over the top’ sehingga membuatkan penonton terkeluar daripada ketegangan yang dirasai pada separuh waktu pertama.

Namun secara keseluruhan, penulis masih mengesyorkan untuk anda mengajak kawan-kawan untuk melihat bersama filem ini. Mungkin ia bukanlah filem seram lima bintang namun jalan ceritanya dan konsepnya agak menarik bagi penulis untuk dikongsikan.Lagi-lagi jika ditonton beramai-ramai.

Mungkin juga nanti anda akan mempunyai pendapat berbeza tentang filem tersebut dan itulah bagi penulis benda yang seronok tentang menonton filem ataupun apa-apa medium kreatif. Untuk berkongsi pendapat masing-masing.

*Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat penulis semata-mata dan tidak mewakili keseluruhan Team Lejen Digital

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca