#LejenFlix: Bruce Wayne Bukan Playboy, Ini Keunikan Watak Batman Versi Filem The Batman (2022)

*Artikel ini mengandungi spoiler filem The Batman (2022).

Sudah lebih kurang tiga minggu semenjak filem The Batman mula-mula ditayangkan di pawagam dan rata-rata penonton memberikan komen yang positif tentangnya.

Dan salah satu penonton itu tidak lain tidak bukan ialah penulis sendiri.

Secara keseluruhan, penulis amat menyukai filem tersebut. Daripada segi sinematografinya kepada lakonannya sehinggalah ke jalan cerita, semuanya mantap.

Walaupun berdurasi hampir 3 jam, tidak ada babak pun yang buatkan penulis rasa bosan semasa menonton filem ini. Amat penulis rekomen untuk anda menonton filem ini.

Tapi hari ini, penulis bukanlah ingin mengulas panjang mengenai keseluruhan cerita The Batman akan tetapi hanya satu aspek sahaja.

Satu aspek yang penulis rasa membuatkan filem The Batman arahan Mat Reeves ini unik dan menarik, iaitu kelainan watak Batman dan Bruce Wayne berbanding filem-filem Batman sebelum ini.

Versi Batman Yang Handal Tapi Belum Mahir

Batman yang dilakonkan oleh Robert Pattinson ini secara mudahnya amat gempak. Daripada segi teknikalnya seperti gerak geri dan suara ataupun daripada segi penghayatannya sebagai satu watak, semuanya baik

Daripada waktu mula-mula Batman tampil sehinggalah babak akhir tidak pernah sekalipun penulis rasa yang Batman ini tidak rasa seperti Batman.

Di mana Batman mestilah ditakuti penjenayah di Gotham, ada aura yang membuatkan dia kelihatan seperti bayang yang megah dan lembaga yang tidak terkalahkan.

Lembaga yang mana menunggu masa untuk menyerang penjenayah yang berleluasa pada malam hari.

Dan dari segi intelektual juga, setiap ayat dan pilihan Batman jelas memaparkan kepintarannya selaku seorang detektif yang cekap.

Namun yang menariknya pada penulis, yang memberikan kelainan dalam versi Batman ini, bukanlah pada kekuatan yang ditonjolkan, sebaliknya pada kekurangannya.

Seperti yang kita tahu, filem The Batman ini berlatarkan masa tahun kedua Bruce Wayne menjadi Batman.

Oleh sebab itu kita sebagai penonton tetap dapat melihat yang Batman ini ada melakukan kesilapan kerana Batman ini masih belum begitu mahir dalam sesetengah perkara.

Tengok saja babak semasa Batman cuba melarikan diri daripada polis. Babak di mana Batman terjun daripada menara polis dengan sut bersayap dan kemudiannya jatuh tergolek di lantai akibat payung terjunnya tersekat pada palang besi.

Batman menghadapi situasi hampir mati apabila dia cuba melarikan diri daripada pihak polis.

Melihat keadaan Batman yang harus berjalan kecok selepas jatuh itu menyedarkan penulis bahawa Batman ini bukanlah seorang yang mempunyai kekuatan yang luar biasa dan kebal daripada kecederaan.

Di sebalik topeng hitamnya itu, hanyalah seorang lelaki biasa, Bruce Wayne.

Disebabkan Batman yang kita lihat ini ialah versi yang masih awal pada kariernya, kita dapat lihat yang proses dia melarikan diri itu tidaklah begitu lancar dan dia juga melakukan kesilapan.

Ketilitian halus sebeginilah yang membuatkan cerita itu pada penulis berasa lebih realistik dan juga kena dengan pemilihan latar masa yang ditetapkan oleh pengarah Matt Reeves.

Bruce Wayne Yang Tidak Playboy

Berbeza daripada filem-filem Batman yang sebelumnya, watak Bruce Wayne dalam filem ini ditampilkan dengan aura yang berbeza.

Sebelum ini, kita biasa disajikan dengan pembawakan watak Bruce Wayne sebagai budak Playboy yang kaya dan berkarisma.

Watak Bruce Wayne sebagai Playboy ini biasanya digunakan sebagai topeng sosial untuk Batman mendapat tahu tentang Gotham dan membaikkan Gotham melalui kewangan dan pengaruh.

Watak Playboy yang dibawa Bruce Wayne ini juga menjadi pendinding agar orang tidak mengesyaki bahawa dirinya ialah Batman.

Namun berbeza dalam filem The Batman, watak Bruce Wayne ini ditonjolkan seakan-akan orang yang sama dengan Batman. Tiada perbezaan ketara yang dapat dilihat antara keduanya.

Di mana jika anda mejadi orang awam Gotham dan cuba perhatikan Bruce Wayne lama-lama, anda akan boleh agak yang dia adalah Batman kerana amarahnya yang ditonjolkan pada wajah.

Ada sesetengah pihak berpendapat tidak menyukai aspek ini dalam filem, namun bagi penulis pemilihan untuk menjadikan Bruce Wayne sebegini adalah pilihan yang tepat dan unik.

Hal ini kerana filem itu berlatarkan waktu awal karier Bruce Wayne sebagai Batman. Pada waktu ini amat logiklah jika dikatakan yang Bruce Wayne masih tidak menyedari bahawa dirinya yang manusia juga berguna untuk mengalahkan jenayah.

Bruce Wayne pada ketika ini walaupun tetap pandai dan handal bertarung, dia masih lagi terlalu obses dengan kerja syif malamnya ini sehinggakan terlupa dirinya juga ialah anak jutawan dan pemilik syarikat yang besar.

Watak Bruce Wayne yang obses dengan kerjanya sebagai Batman ini membuatkan penonton lebih berasa dekat bagi memahami serta merasai emosi yang watak Bruce Wayne iaitu seorang lelaki yang trauma melihat ibu ayahnya dibunuh di depan matanya sendiri.

Dan membesar dengan trauma itu, Bruce Wayne menyimpan dendam yang dalam terhadap penjenayah yang kemudiannya membawa kepada obsesinya.

Kesimpulan

Setiap pengarah filem pasti inginkan kelainan dalam adaptasi yang mereka lakukan. Dalam The Batman, Matt Reeves lebih memilih untuk menampilkan sisi psikologi watak Batman dan Bruce Wayne yang lebih mentah dan terlalu obes dalam menjadi Batman untuk menakutkan penjenayah.

Dengan membuatkan perbezaan yang tidak ketara di antara watak Bruce Wayne dan Batman, membuka ruang untuk filem-filem yang akan datang bagi watak hero ini berkembang.

Bukan sahaja daripada aspek kemahirannya sebagai Batman tapi juga sebagai Bruce Wayne.

Batman pada filem akan datang mungkin bakal menyedari bahawa karakter Bruce Wayne juga berguna dalam kerja menentang jenayah. Hero kita ini juga belajar untuk menggunakan identiti dan persona Playboy Bruce Wayne untuk tujuan menumpaskan penjenayah di Gotham.

Itu sahaja perkongsian penulis untuk kali ini.

Apa pendapat anda tentang versi Batman yang ditampilkan dalam filem The Batman ini? Adakah anda menyukainya atau anda lebih suka akan gaya yang lama?

*Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca