#LejenFlix: Bertempat Di Dunia Distopia, Ini Review Filem ‘Time To Hunt’

Sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin umumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal memasuki fasa keempat pada akhir bulan ini, sudah pastinya ramai yang mula garu kepala kerana tidak tahu apa lagi yang harus mereka lakukan untuk mengisi masa terluang di rumah.

Jadi, anda boleh cuba untuk menonton filem Time to Hunt yang kini berada di tangga nombor lima filem paling banyak ditonton oleh rakyat Malaysia.

Time to Hunt merupakan sebuah filem sains fiksyen dan jenayah yang mengambil tempat pada masa hadapan Korea Selatan. Ekonomi sudah menyembah ke tanah dan jalanan sebaliknya terbiar kosong tetapi dipenuhi dengan grafiti pelbagai warna sekali gus menggambarkan dunia futuristik dan dystopia yang menjadi tema utama filem arahan Yoon Sung-hyun ini.

time to hunt
Sumber: Twitter

Kisah ini bermula apabila Jun-seok (Lee Je-hoon) dibebaskan dari penjara setelah diberkas ketika membuat rompakan beberapa tahun lalu.

Jun-seok disambut oleh dua sahabat baiknya, Jang-ho (Ahn Jae-hong) dan Ki-hoon (Choi Woo-shik) iaitu rakan subahat dalam rompakan yang sama tetapi berjaya meloloskan diri daripada ditangkap.

Untuk dijadikan cerita, Jun-seok jadi semakin tidak keruan apabila dia dapat tahu duit hasil rompakan mereka sebelum ini tidak boleh digunakan kerana ekonomi baharu di negara itu hanya menerima wang dalam bentuk US Dollar sahaja dan bukannya won lagi.

Image
Sumber: Twitter

Atas sebab itu, Jun-seok yang tidak sampai beberapa jam melihat dunia luar itu sudah kembali merancang idea gila untuk merompak sebuah kasino yang hanya melakukan transaksi dalam mata wang US Dollar.

Akibat terhutang budi kepada rakan mereka yang terpaksa meringkuk dalam penjara, Ki-hoon dan Jang-ho yang pada mulanya berat hati akhirnya bersetuju dengan idea Jun-seok. Selain itu, kehadiran pekerja kasino tersebut iaitu Sang-soo (Park Jung-min) melengkapkan trio berkenaan.

Menurut plan Jun-seok, mereka akan mengambil wang secukupnya dari kasino itu untuk memulakan sebuah kehidupan baharu di pulau Kenting, Taiwan.

Namun, apa yang tidak diketahui oleh Jun-seok adalah rancangan naif dirinya hanya akan menghantui empat sekawan itu dan keluarga mereka pada masa hadapan.

Sumber: Twitter

Pada pendapat penulis, kisah ini berubah 180 darjah apabila Jun-seok dan rakan-rakannya berjaya mengambil semua wang yang diperlukan. Malang tidak berbau buat empat sekawan ini apabila mereka ditangkap oleh penjaga kasino tersebut.

Penampilan Park Hae-soo dalam filem ini sebagai seorang lelaki misteri dengan gelaran Han boleh dikatakan menjadi punca para penonton tidak senang duduk.

Sumber: Han Cinema

Dalam filem ini, penulis menganggap elemen futuristik seperti kereta canggih dan banyak bangunan dihiasi lukisan grafiti melambangkan kebebasan penduduk pada zaman itu.

Penulis juga menganggap filem arahan Yoon Sung-hyun ini mampu menghidupkan dunia distopia dan turut memenuhi expectation penonton pada masa yang sama dengan setiap perincian pada watak dan juga sekelilingnya.

Sementara itu, tinjauan penulis di laman Twitter mendapati rata-rata penonton menyukai jalan cerita filem ini tetapi tidak berpuas hati dengan penamatnya:

Pada pandangan penulis, filem ini perlu ditonton oleh mereka yang minat dengan filem berunsur sains fiksyen dan thriller. Sekiranya anda merupakan seorang penggemar filem dystopia seperti The Hunger Games dan The Maze Runner, anda wajib masukkan Time to Hunt dalam watchlist anda.

Segala pendapat yang ditulis dalam artikel ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Lejen Flix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca