#LejenFlix: Berkonsepkan Futuristik, Filem Indonesia A World Without Papar Isu Tentang Wanita Dan Media Sosial

Filem A World Without hasil karya Nia Dinata ini merupakan kolaborasi ketiga Netflix dengan bidang perfileman di Indonesia.

Filem yang bergenre distopia, fiksyen sains dan thriller ini dibintangi oleh barisan pelakon ternama Indonesia seperti Amanda Rawles, Asmara Abigail, Maizura, Chicco Jerikho, Ayushita, Jerome Kurnia dan Richard Kyle.

A World Without mengetengahkan isu-isu wanita dan media sosial yang mampu membangkitkan kesedaran tentang ideologi ini dalam kalangan masyarakat.

Berlatarkan tahun 2030, filem ini menggambarkan tujuh tahun selepas pandemik melanda dunia dan terutamanya di Indonesia.

Keadaan di Indonesia kelihatan semakin buruk apabila angka kelahiran kian menurun di negara tersebut.

Susulan itu, The Light, iaitu sebuah organisasi yang dipimpin oleh Yang Istimewa, iaitu Ali (Chicco Jerikho) dan juga isterinya, Sofia (Ayushita), menjanjikan kepada anak-anak muda bahawa ianya mampu memberikan kehidupan yang mereka impikan.

Sumber: Netflix

Filem ini memfokuskan kepada tiga sahabat yang mempunyai perwatakan yang berbeza iaitu Salina (Amanda Rawless) yang bercita-cita ingin menjadi pembikin filem, Ulfah (Maizura) yang berimpian untuk menjadi seorang ibu dan isteri yang baik dan Tara (Asmara Abigail) yang bersikap degil dan panas baran.

Ketiga-tiga sahabat ini telah terpilih untuk menjadi sebahagian daripada batch terbaru di The Light.

Namun, sedikit demi sedikit misteri dan petunjuk mula terungkai yang menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan akademi terseut.

Sumber: Netflix

Sebagai seorang pengarah, Nia Dinata sememangnya terkenal dengan memiliki sudut pandang yang berbeza dengan karya filem sebelumnya.

Di dalam A World Without, mereka memaparkan peranan media yang mempengaruhi generasi muda dan ianya telah digunakan untuk menawarkan realiti palsu oleh The Light.

The Light telah menggunakan media sosial untuk memanipulasi realiti yang sememangnya berbeza dengan keadaan yang sebenar.

Bukan itu sahaja, filem ini menyampaikan sebuah tema yang paling utama iaitu bagaimana wanita dipandang sebagai subjek yang hanya patut menjadi isteri yang patuh kepada suaminya.

Para remaja wanita di dalam filem ini dikehendaki untuk menyiapkan diri mereka terlebih dahulu untuk menjadi seorang wanita yang ‘sempurna’ untuk dijadikan isteri.

Para remaja wanita yang berusia dalam lingkungan 16 tahun ini kemudiannya akan dipersiapkan selama setahun sehingga mereka menemui jodoh yang sudah dipilih oleh The Light.

Walaupun tema-tema yang diutarakan ini kedengaran seperti berat, namun jalan cerita filem ini masih ringan untuk ditonton dengan visualnya yang berwarna-warni.

Paling menariknya, filem yang berlatar waktu di masa hadapan ini mampu menggambarkan sifat-sifat futuristik melalui set, props serta pakaian yang diragakan.

Sumber: Netflix

Idea asal filem A World Without ini pertama kali tercetus oleh Nia Dinata dan Lucky Kuswandi pada tahun 2018 ketika mereka membincangkan keadaan dunia dan masyarakat yang tidak lekang dari media sosial.

Uniknya, Nia Dinata juga membuka peluang kepada wanita-wanita di luar sana untuk terlibat di sebalik layar filem ini sebagai penerbit, pengurus produksi, sinematografer dan juga editor.

Katanya lagi, dengan para pembikin filem yang terdiri dalam golongan wanita telah membuatkan suasana perfileman mereka aman.

Nia Dinata juga terkenal dengan beberapa hasil karya filemnya iaitu Arisan! dan juga Berbagi Suami dan beliau juga pernah bergabung dengan pengarah filem Ali & Ratu Ratu Queens.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca