#LejenFlix: Ali & Ratu Ratu Queens Selit 5 Fakta Menarik Dalam Filem

lejenflix-ali-ratu-ratu-queens-selit-5-fakta-menarik-dalam-filem
Sumber: Googler

Ali & Ratu Ratu Queens telah menjadi bualan di media sosial sejak perlancaran perkhidmatan penstriman Netflix pada 17 Jun lalu.

Dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Iqbaal Dhiafakhri Ramadhan, Nirina Zubir, Asri Welas, Tika Panggabean, Happy Salma, Marissa Anita dan Aurora Ribero, filem ini berlatarbelakangkan kekeluargaan serta diselitkan komedi.

Filem ini mengisahkan perjalanan seorang remaja berusia 17 tahun, Ali (Iqbaal Ramadhan) untuk mencari ibunya, Mia (Marissa Anita) yang berpindah ke New York sejak dia kecil lagi. Dalam perjalanan itu, dia bertemu dengan empat orang imigran Indonesia yang bersedia membantunya.

Berikut kami kongsikan kepada anda lima fakta menarik mengenai filem Ali & Ratu Ratu Queens:

1. Adaptasi dari pengalaman sebenar

Filem ini berdasarkan pengalaman penerbit Muhammad Zaidy, lebih mesra disapa Eddy. Pada awal tahun 2015, beliau tinggal di sebuah apartmen yang terletak di kawasan Queens, New York, Amerika Syarikat.

Ketika itu, Queens dipenuhi banyak pendatang dari berbagai negara, salah satunya dari Indonesia. Eddy telah bertemu ramai orang dengan kehidupan yang sangat berbeza, termasuk empat wanita unik berusia kira-kira 40-an.

Pengalaman itu membuatkan Eddy terbuka hati untuk dijadikan sebuah filem. Kemudian, beliau membincangkan perkara tersebut bersama Gina S. Noer, penulis skrip untuk filem ini. Keputusan antara dua pihak telah mencapai kata sepakat, mereka kemudiannya bertemu dengan Lucky bagi merealisasikan kisah Ali & Ratu Ratu Queens.

2. Penggambaran tidak banyak take

Watak Biyah yang dilakonkan oleh Asri Welas menjelaskan bahawa sepanjang penggambaran berlangsung, tidak banyak gambar diambil selama di New York. Hal ini kerana semua penggambaran telah ditentukan sejak awal lagi.

Sumber: Faktual ID

“Saya tidak dapat mengulang semula aksi yang dilakonkan kerana babak berkenaan hasilnya dikatakan sudah sempurna dan bagus. Bagi saya, masa terasa begitu pantas berlalu.”

“Jadi, setiap take pelakon perlu lebih memberi ‘rasa’ pada penghayatan watak serta jalan cerita,” kata Asri dalam sesi temu bual dengan CNN Indonesia TV.

Bagi Iqbaal Ramadhan yang membawa watak Ali mengatakan perkara sama dilaluinya. Penggambaran Ali & Ratu Ratu Queens sangat berbeza dengan ketika berada di Indonesia.

Jika di tanah air, Indonesia, beliau boleh melakukan penggambaran beberapa kali untuk satu adegan terbaik dan mendapatkan komen positif daripada pihak produksi, lebih-lebih lagi terhadap para penonton.

Sumber: Mudanesia

“Di New York, kerjasama antara pihak produksi dan pelakon lain, semua turut membantu. Semuanya sudah dijelaskan bagaimana adegan yang dimahukan oleh pihak produksi.”

“Saya, sebagai pelakon agak rasa tercabar. Saya tidak boleh mengatakan seperti, ‘Oh, mungkin take kali ketiga hasilnya akan lebih baik,’ “katanya.

3. Kawalan ketat daripada NYPD

Menerusi filem ini terdapat pemandangan menyeberang jalan oleh Asri dan Iqbaal. Penggambaran bagi adegan ini dikawal oleh Jabatan Polis New York (NYPD) kerana ada jalan raya ditutup buat sementara waktu.

“Kelihatan seperti kita menyekat jalan New York tetapi hanya melintasi jalan. Jadi penggambaran di lokasi berkenaan perlu mendapatkan keizinan daripada pihak berkuasa,” kata Asri dalam wawancara dengan CNN Indonesia TV.

4. Menyesuaikan diri di New York

Asri Welas, Nirina Zubir, Tika Panggabean dan Happy Salma tidak segera melakukan penggambaran ketika mereka tiba di New York. Sebelum memulakan penggambaran, mereka diberi kesempatan untuk mempelajari kehidupan orang-orang yang bekerja di New York.

“Di New York barisan pelakon tidak dapat berjalan secara santai. Anda dapat melihat sendiri bagaimana keadaan di sana. Semuanya kelihatan tergesa-gesa,” jelas Asri.

Selain itu, keempat-empat pelakon yang membawa watak imigran dari Indonesia juga diberi peluang untuk melihat tempat kerja watak-watak mereka lakonkan. Bukan itu sahaja, mereka turut diminta untuk bergaul dengan penduduk New York.

5. Bacaan skrip secara dalam talian

Lebih menarik lagi, pembacaan skrip filem ini dilakukan secara dalam talian oleh barisan pelakon pada tahun 2019 walaupun ketika itu pandemik Covid-19 belum berlaku. Pada masa itu, Iqbaal tidak dapat menghadirkan diri di Indonesia kerana masih belajar di Australia.

Sejak mula ditayangkan 17 Jun lalu, Ali dan Ratu Ratu Queens kini menjadi antara filem wajib tonton di Netflix dan menerima pelbagai komen positif daripada penonton.

Sumber: Youtube (Netflix)

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca