#LejenFlix: 5 Drama Dan Filem Adibah Noor Ini Terlalu Dekat Di Hati Penonton

Rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita pemergian selebriti ternama tanah air iaitu Adibah Noor yang menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu lalu kerana kanser ovari.

Selain berbakat besar dalam bidang nyanyian dan pengacaraan, penyanyi Terlalu Istimewa ini juga pernah membintangi banyak filem dan drama yang menerima sambutan menggalakkan daripada para penonton.

Kami kongsikan lima karya lakonan Adibah yang terlalu dekat di hati para penonton menerusi artikel ini.

1. Sepet (2005)

Sumber: Cinema Online

Bertempatkan di Ipoh, Perak, Sepet adalah sebuah filem romantik komedi yang menampilkan kisah cinta di antara seorang lelaki Cina bernama Ah Loong/Jason (Choo Seong Ng) dan seorang wanita Melayu bernama Orked (Sharifah Amani).

Adibah membawa watak sebagai Kak Yam dalam ketiga-tiga filem trilogi Orked iaitu Sepet, Mukhsin dan Gubra.

2. Mukhsin (2007)

Sumber: Mubi

Dibintangi Adibah Noor, Syafie Naswip, Sharifah Aryana dan Sharifah Aleya, filem ketiga dalam trilogi Orked arahan Yasmin Ahmad ini mengambil tempat di Sekinchan di Sabak Bernam, Selangor pada tahun 1993.

Filem prekuel kepada Sepet dan Gubra ini mengisahkan bagaimana persahabatan di antara Orked yang berusia 10 tahun (Sharifah Aryana) dan Mukhsin (Syafie Naswip) yang baru sahaja pulang ke kampung ketika cuti sekolah berubah menjadi kisah cinta pertama.

3. Magika (2010)

Sumber: Behance Dannyhan Miskam

Filem arahan Edry Abdul Halim ini mengisahkan bagaimana Malik (Fimie Don) tersesat di alam bunian yang dikenali sebagai Magika selepas keluar rumah pada waktu maghrib.

Ayu (Diana Danielle) perlu masuk ke dunia Magika untuk menyelamatkan adiknya iaitu Malik yang hilang kerana diculik nenek kebayan (Ziana Zain).

Selain Adibah yang membawa watak Makcik Halia, filem yang kaya dengan mitos dan kisah legenda Melayu ini turut menampilkan beberapa watak yang dekat di hati penonton seperti Bawang Putih (Sharifah Amani), Bawang Merah (Sharifah Aleya), Pak Pandir (Aznil Nawawi), Mahsuri (Vanidah Imran), Hang Tuah (Saiful Apek) dan Puteri Gunung Ledang (Ning Baizura).

4. Oh My English! (2012-2013, 2017)

Sumber: Budiey

Mula ditayangkan pada 20 Mei 2012, drama ini membawa kisah para pelajar kelas 3 Merah di sebuah sekolah rekaan yang bernama SMK Ayer Dalam.

Tiada guru yang ingin mengajar di kelas ini kerana para pelajarnya terkenal dengan sikap mereka yang sangat nakal, suka membuat bising dan mempunyai keputusan akademik yang paling buruk di sekolah itu. Subjek yang paling kurang digemari mereka adalah bahasa Inggeris.

Walau bagaimanapun, semuanya berubah apabila seorang guru bahasa Inggeris yang bernama Henry Middleton (Zain Saidin) muncul di sekolah itu. Cara pengajaran Henry yang unik telah berjaya menarik perhatian dan minat pelajar untuk mempelajari bahasa Inggeris.

Adibah membawa watak sebagai Puan Hajar iaitu guru besar SMK Ayer Dalam sebelum beliau digantikan oleh Puan Aida (Ogy Ahmad Daud) dalam musim ketiga dan keempat.

5. Kampung People 2 (2020)

Sumber: Instagram @rashidi_ishak

Drama arahan Wan Hasliza ini berkisarkan tentang keluarga Razif (Rashidi Ishak) yang kembali dengan kehidupan mereka di bandar selepas Tuan SuhaimI (Nam Ron) dipenjarakan dan kumpulan Cengkih Manis dibubarkan.

Disebabkan rindu kepada Jaafar (Hun Haqeem), Laila (Riena Diana) berjaya meyakinkan bapanya untuk berpindah semula ke kampung. Walau bagaimanapun, Laila dan Razif terpaksa memperdaya Mona (Elly Mazlein) dan Yummy (Kamarul Eqifshah) bahawa mereka kononnya masih dikejar kumpulan Cengkih Manis sehingga perlu berhijrah ke kampung.

Walaupun masih mengekalkan barisan pelakon lama seperti Rashidi Ishak, Elly Mazlein, Riena Diana, Kamarul Eqifshah dan Hun Haqeem, musim kedua drama ini turut menampilkan watak baharu iaitu ibu Mona yang bernama Dona (Adibah).

Anda boleh tonton trailer drama yang penuh kecoh dan mencuit hati ini di bawah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan #LejenFlix, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca