#LejenFlix: Dibintangi Seorang Pelakon, Ini 5 Filem Popular Raih Pujian

Keperluan pelbagai jenis watak sama ada sebagai pelakon utama, pembantu mahupun sebagai pelakon tambahan yang ditugaskan mencipta situasa yang diperlukan, ditagih untuk menghidupkan filem.

Namun ada juga sesetengah filem yang jalan ceritanya cukup kuat untuk didokong hanya seorang pelakon, yang akan menentukan sepenuhnya kejayaan atau kegagalan filem tersebut.

Tidak banyak produser berani mengambil risiko sebegini, tetapi mana yang berani mencuba, berjaya mendapat hasil unik yang membuatkan penonton teruja.

1. Locke (2013)

Sumber: Wikipedia

Tom Hardy (Warrior, Mad Max Fury Road) memang seorang pelakon yang sangat versatil dan filem Locke menjadi bukti dia mampu membawa filem cereka seorang diri.

Sepanjang durasi filem ini, Ivan Locke (Hardy) hanya duduk memandu sebuah kereta BMW x5 berkomunikasi dengan watak-watak lain melalui telefon ketika sedang dalam perjalanan dari Birmingham ke London selepas hubungan sulitnya dengan seorang wanita sehingga mengandung, walaupun Locke sudah berumah tangga.

Dalam perjalanan ke London bagi menemani wanita tersebut melahirkan anak luar nikah mereka, Locke perlu berhadapan dengan bermacam situasi melibatkan karier, isu peribadi serta masa depan keluarganya yang kini bertambah menjadi dua.

2. Buried (2010)

Sumber: Joblo’s Movies Posters

Penulis gagal menghabiskan filem ini kerana rasa takut yang melanda akibat tekanan tempat sempit. Jadi hanya penulis sahaja mengetahui penamat filem ini melalui di laman Wikipedia serta perbincangan pihak lain di internet.

Begitulah berjayanya filem ini apabila seorang pelakon memaparkan rasa gementar yang akan dihadapi seseorang yang terperangkap dalam ruangan sempit.

Selepas ditangkap kumpulan pengganas di Iraq, Paul Conroy (Ryan Reynolds) dijadikan tebusan, dikurung dalam sebuah keranda yang ditanam dalam tanah bertemankan sebatang pemetik api dan telefon.

Sepanjang filem tersebut, Conroy terus berkomunikasi dengan banyak pihak termasuklah kumpulan pengganas yang menanam dirinya dalam usaha memastikan wang tebusan berjaya dibayar. Akibat insiden yang berlaku berhampiran, keranda yang menempatkan Conroy pecah. Pasir mula perlahan-lahan memenuhi ruangan dan memendekkan lagi masa yang dia ada untuk cuba menyelamatkan diri.

Berbeza dengan watak komedi yang selalu dibawanya, lakonan Reynolds dalam filem ini dipuji ramai. Filem Buried juga mendapat ulasan baik, diberikan skor 86% di Rotten Tomatoes serta 7.3 di IMDB.

3. All Is Lost (2013)

lejen-flix-dibintangi-seorang pelakon-ini-5-filem-popular-raih-pujian
Sumber: Jio Cinema

Filem sunyi ini memaparkan aktor legenda Robert Redford. All Is Lost memaparkan watak lelaki tidak bernama lakonan Redford yang terdampar di lautan atas sebuah perahu sendirian, selepas sebuah kemalangan melibatkan kapal yang dinaikinya.

Sepanjang filem ini, lelaki itu cuba untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu beliau untuk terus kekal hidup. Bukan itu sahaja, beliau cuba belajar menangani bencana yang hadir serta mengerti kepayahan hidup.

Lakonan Redford dalam filem ini mendapat tepukan gemuruh semasa hari tayangan pertamanya, dipuji kerana membuatkan penonton merasai pahit manis dan jatuh bangun yang ditempuhi sepanjang filem.

All Is Lost mendapat reaksi positif majoriti pengkritik filem dengan 94% skor di Rotten Tomatoes serta 7.98 di IMD. Kiranya, filem ini layak dikatakan sebuah klasik moden.

4. Nightingale (2014)

lejen-flix-dibintangi-seorang pelakon-ini-5-filem-popular-raih-pujian
Sumber: Wikipedia

Selepas membunuh ibunya sendiri, Peter Snowden (David Oyelowo) berhadapan dengan realiti tindakan yang telah dilakukan dirinya.

Dia cuba memulakan kehidupan seperti biasa namun gagal, sebelum mengambil keputusan merakamkan apa sahaja yang difikirkan ketika itu ke dalam bentuk video untuk tontonan pengikut laman beliau.

Snowden turut perlu menyelesaikan bagaimana mahu menguruskan mayat ibunya yang masih ada di dalam rumah.

Dengan menjadikan fokus kepada hubungan teknologi serta interaksi antara Snowden dengan pengikutnya setiap kali bersiaran sebagai tunjang utama, filem ini diterima baik pengkritik dengan lakonan solo Oyelowo dipuji selain berkesan memaparkan naik turun psiki wataknya.

Laman web agrerator Rotten Tomatoes meletakkan skor Nightingale pada kadar 82% menandakan penerimaan positif penonton terhadap filem ini.

5. Secret Honor (1984)

lejen-flix-dibintangi-seorang pelakon-ini-5-filem-popular-raih-pujian
Sumber: Letterboxd

Sebuah filem yang sudah hampir 40 tahun diterbitkan, Secret Honor memaparkan pelakon veteran, Philip Baker Hall sebagai bekas Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon yang berhadapan dengan tekanan hidup selepas kejatuhan beliau akibat skandal Watergate yang melanda negara itu.

Skandal itu menjadi fokus utama perubahan tahap psikologi watak Nixon menerusi lakonan Baker Hall, gemar bermonolog sendirian membincangkan tentang kejadian yang telah menimpanya serta cuba mencari jalan keluar daripada pelbagai dakwaan yang melanda dirinya.

Lakonan Baker Hall dalam filem ini yang dilakukan secara sendirian dalam satu lokasi, dipuji pengkritik era ketika itu. Filem ini kekal unggul mengekalkan penilaian 7.3 bintang di IMDB serta kerap disebut apabila isu berkaitan Nixon ditimbulkan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca