Lega Ibu Telah Meninggal Dunia, Pelakon I-Carly Menceritakan Kisah Penderaan Yang Dilalui

Pelakon I-Carly, Jennette McCurdy mengumumkan penerbitan satu buku memoir bertajuk I’m Glad My Mom Died dimana dia akan berkongsi pengalaman didera oleh ibunya sewaktu kecil.

McCurdy yang telah memainkan watak Sam Puckett dalam rancangan kanak-kanak bertajuk i-Carly antara tahun 2007 hingga 2012 sedang bersedia untuk terbitkan memoir pertamanya yang menceritakan zaman silamnya yang penuh dengan keperitan dan dugaan.

Sumber: Fanpop

Menurutnya, buku tersebut akan mendedahkan bagaimana ibu McCurdy mengawalnya sehingga menjadi antara barisan pelakon yang tunjang di Nickelodean, dan bagaimana status tersebut mengakibatkan keresahan, rasa malu yang ekstrem, dan kebencian terhadap diri sendiri.

“Semua hal negatif itu kemudian menjelma sebagai pola makan yang tidak menentu, ketagihan, dan kecenderungan membina hubungan yang tidak sihat,” kata Jennette McCurdy.

Ia juga dilaporkan bahawa McCurdy yang sekarang berusia 29 tahun pernah dipaksa untuk mengikut sekatan kalori dan harus menimbang diri di hadapan ibunya lima kali sehari. McCurdy juga dipaksa untuk mandi bersama ibunya.

“Sepanjang masa saya di Nickelodean, saya terpaksa berkongsi macam-macam dengan ibuku: diari, e-mel, dan juga gaji.”

Sumber: Teen Vogue

Ibunya, Debra McCurdy, meninggal dunia akibat kanser pada 2013, sejurus selepas pelakon tersebut bersetuju untuk membintangi siri tv tajuk Sam And Cat, bersama Ariana Grande.

Siri itu disiarkan selama satu musim dan menghasilkan 36 episod sebelum McCurdy berhenti berlakon sepenuhnya.

Lama selepas itu, McCurdy akhirnya pergi mendapatkan terapi. Katanya, “Apabila mendapat peluang untuk mengenal trauma daripada penderaan emosi dan psikologi yang saya alami sewaktu saya muda, saya sedar betapa pentingnya proses ini untuk kesihatan mental diri.

Pada waktu dulu, saya tidak tahu bagaimana nak mencari sokongan ataupun berhubung dengan orang tentang situasi saya. Jadi, saya berharap buku ini dapat menginspirasi golongan muda untuk membela diri sendiri.”

Memoirnya akan dikeluarkan pada 9 Ogos 2022, buku tersebut menggabungkan komedi dengan elemen-elemen gelap dan boleh didapati melalui pembelian dalam talian seperti di laman sesawang Amazon.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca