Search
Close this search box.

Lebih Sedekad Mengkaji Pelbagai Agama, Pasangan Ini Akhirnya Temui Jawapan Dalam Al-Quran

Benarlah apa yang diperkatakan selama ini, hidayah Allah itu datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang yang hadir secara lancar dan tenang malah ada juga yang datang bersama-sama dengan cabaran yang berliku-liku.

Namun begitu, sebarang halangan pasti akan dapat diatasi apabila seseorang itu mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap Yang Maha Esa dan juga diri sendiri. Keyakinan terhadap diri sendiri itu sangat penting kerana apa sahaja perubahan bermula daripada diri kita sendiri.

Kali ini, kami kongsikan kisah pasangan dari Singapura yang dulunya peminat tegar Black Metal dan kini memeluk Islam. Perkongsian lelaki Cina tersebut berkenaan kisah dia dan isteri memeluk Islam ternyata menarik perhatian ramai.

Menurut Cedric Lim atau nama Islamnya Muhammad Daniel Lim Abdullah, dia dan isterinya iaitu Kai Portnoy atau Siti Khairiyah Wang telah melafazkan syahadah pada 17 Julai lalu.

Muhammad Daniel dilahirkan dalam keluarga yang menganut agama Buddha manakala isteri kesayangannya pula berasal daripada keluarga beragama Kristian.

Sebelum ini, Muhammad Daniel mengambil masa lebih sedekad untuk mengkaji pelbagai agama dan kitab. Pada suatu hari, sewaktu sedang berbincang soal agama dengan rakan Muslimnya, dia sedar bahawa dia tidak pernah membaca atau mengkaji al-Quran.

Pada mulanya, Muhammad Daniel memberitahu rakannya tadi yang dia tidak percaya dengan kewujudan Tuhan. Rakannya memberitahu bahawa sekiranya dia percaya yang Tuhan itu tiada, maka dia sudah separuh jalan untuk menjadi seorang Muslim.

Ujar rakannya, umat Islam percaya Tuhan itu tiada. Apa yang ada adalah pencipta seluruh kehidupan dan nama pencipta itu ialah Allah. Selain kekal abadi, Allah tiada jantina, tiada ibu bapa atau anak dan tidak boleh dibayangkan bagaimana rupanya.

Jawapan rakannya itu membuatkan rasa ingin tahu Muhammad Daniel tentang Islam membuak-buak. Bertitik tolak dari situ, dia mula mengkaji Islam. Salah seorang rakannya juga ada menghadiahkan senaskah al-Quran terjamahan bahasa Inggeris kepadanya. Ini memudahkan lagi dirinya untuk belajar tentang Islam.

Pada mulanya, Muhammad Daniel mula membaca al-Quran untuk mencari salah dan buktikan kepada rakannya tadi bahawa Islam adalah agama yang salah. Setelah seketika, Muhammad Daniel mula mempersoalkan dirinya dan sedar bahawa ternyata dia yang salah. Hal ini demikian kerana apa yang ditemui ketika dia mengkaji al-Quran adalah fakta yang sememangnya tidak boleh dinafikan.

Menurut Muhammad Daniel, dia menjumpai banyak fakta saintifik dalam al-Quran dan 80 peratus daripadanya sepadan dengan sains moden. Pada masa yang sama, dia juga terkejut apabila Nabi Isa disebut dalam al-Quran dengan maklumat lanjut mengenai ibunya iaitu Maryam. Akhirnya, dia lebih memahami kitab Taurat dan Bible dengan lebih baik menerusi al-Quran.

Keputusannya memeluk Islam turut mengejutkan rakan-rakannya memandangkan sebelum ini, dia dikenali sebagai individu yang tidak percayakan agama. Malah, dia juga terkejut dengan diri sendiri dan langsung tidak pernah menjangka keputusan yang diambilnya ini.

Sebelum ini, Muhammad Daniel pernah mengkaji pelbagai kitab agama lain termasuklah Buddha, Kristian, Taoism, Zoroastrainism, Satanism dan Confucianism.

Perkongsian kisah ini di laman Facebooknya mendapat lebih 11,000 perkongsian dan 22,000 tanda suka. Rata-rata warganet turut mengucapkan rasa syukur atas petunjuk yang dikurniakan Allah SWT terhadap pasangan tersebut.

Alhamdulillah. Kami doakan agar Muhammad Daniel dan isteri sentiasa istiqamah dan dipermudahkan segala urusan sebagai seorang Muslim.

Artikel Lain Untuk Di Baca