Baru-baru ini, satu video yang menunjukkan seorang remaja lelaki bertindak menembak mati seekor monyet tular di media sosial. Rata-rata warganet menyelar perbuatan yang langsung tidak berperikemanusiaan itu. Beberapa hari selepas itu, remaja lelaki berkenaan berjaya dikenal pasti pihak polis dan motif dia berbuat demikian kini terungkai.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, remaja berumur 18 tahun itu memberitahu dia menembak mati monyet itu hanya untuk suka-suka sahaja. Dia juga mengaku bahawa haiwan itu ditangkap di kebun kerana merosakkan hasil tanaman.

“Remaja lelaki berkenaan mengaku mengambil pistol bapanya yang sedang tidur di dalam pondok di kebun pisang bapanya pada hari kejadian,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di Lumut, Perak pada Khamis.

Tambahnya lagi, remaja itu ditahan bersama ayahnya yang juga pemilik pistol berkenaan di rumah mereka di Taman Kenangan, Sitiawan pada jam 9.20 malam Rabu. Kedua-duanya direman mulai kelmarin hingga 26 Mei untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Sepucuk pistol berwarna hitam jenis Glock 42 Auto, sarung pistol, 12 peluru dan lesen pemilikan senjata api ayah remaja itu turut dirampas pihak polis.

Dalam insiden antara pukul 10 pagi hingga 11 pagi pada 18 Mei lalu, remaja lelaki berkenaan bertindak menembak seekor monyet liar dengan satu das tembakan tanpa sebarang belas kasihan sebelum membuang sangkar dan bangkai haiwan itu di sebuah sungai di Bota.

Menurut Razarudin, ayah suspek memaklumkan pelaku dalam video yang tular itu seakan anaknya dan polis akan ke lokasi kejadian untuk meneruskan siasatan lanjut.

“Setakat ini, hasil siasatan awal mendapati itu kejadian pertama oleh suspek dan kita juga belum dapat memastikan jika remaja itu mempunyai masalah mental, namun siasatan lanjut akan dijalankan.”

“Kita menasihati pemegang lesen senjata api supaya lebih berhati-hati dalam memastikan keselamatan senjata dan meletakkannya di tempat lebih selamat supaya tidak boleh diambil oleh anak dan dalam kes ini, bapa suspek mengakui tidak tahu senjata api itu diambil oleh anaknya,” katanya.

Kejadian seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana ia bukan sahaja membabitkan kesalahan menggunakan senjata api, malah ia merupakan satu bentuk penganiayaan terhadap binatang.

Monyet malang itu dipercayai ditembak gara-gara tidak memanggilnya ‘Baby Sayang’.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
Sumber:

BERNAMA