‘Lathi Challenge’ Bertentangan Dengan Akidah Islam – Mufti WP

Hukum bagi seseorang melakukan Lathi Challenge atau Cabaran Lathi adalah haram dan juga berdosa.

Perkara ini kerana ia mempunyai unsur-unsur pemujaan yang dikhuatiri akan menjerumuskan sesiapa sahaja pelakunya kepada perbuatan syirik dan juga kekufuran.

Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Dr. Luqman Abdullah menasihati umat Islam agar tidak terikut-ikut cabaran yang berbentuk pemujaan dan ritual yang meragukan untuk memelihara akidah.

“Setakat maklumat yang kami dapati, Cabaran Lathi ini pada mulanya dipopularkan oleh Jharna Bhagwani di aplikasi TikTok, kemudian ia tular di media sosial dan ramai menyahut cabaran itu.

“Cabaran di mana pelaku akan mengenakan pakaian ala-ala tradisional nusantara (Jawa) dengan menari mengikut alunan lagu, lalu tiba-tiba menukar wajah dan pakaian mereka menyerupai hantu yang mengerikan.

“Lathi diambil daripada bahasa Jawa Kuno yang membawa maksud lidah. Ia menjadi judul sebuah single dinyanyikan Weird Genius yang berduet bersama Sara Fajira,” menurutnya.

Dr. Luqman menyatakan sedemikian dalam Irsyad Al-Fatwa Siri ke-521: Hukum melakukan Lathi Challenge yang dimuat naik dalam laman Facebook (FB) rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, semalam.

Beliau berkata, di dalam muzik video rasmi itu lagu itu, terdapatnya elemen joget dan tarian yang berunsur ritual mistik.

Menurutnya, di dalam lirik lagu itu turut mempunyai bait-bait yang dikatakan mempunyai pemujaan roh serta menyeru makhluk halus.

Katanya lagi, pihaknya menegaskan bahawa perbuatan menularkan cabaran seperti itu tidak sepatutnya dilakukan, lebih-lebih lagi ia membabitkan perkara yang bertentangan dengan akidah agama Islam.

“Hal ini bersandarkan kepada hadis dari Jarir Ibn Abdillah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa melakukan sunnah yang baik, lalu diikuti amalan itu, maka baginya pahala dan pahala orang yang mengikutinya, tidak berkurang daripada pahala mereka sedikitpun.

“Barangsiapa yang melakukan perkara yang buruk, lalu diikuti amalan itu, maka baginya dosa dan dosa orang yang mengikutinya, tidak berkurang daripada dosa mereka sedikitpun. Hadis riwayat Muslim: 2675.

“Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong daripada golongan mereka. Hadis riwayat Abu Daud: 4031,” kata Dr. Luqman.

Beliau yang mewakili pihaknya menasihati orang ramai supaya berhenti berkongsi video tersebut di media sosial serta tidak terbabit dalam cabaran berunsurkan pemujaan dan ritual demi menjaga akidah.

Jadi, diharapkan umat Islam lebih berhati-hati selepas ini untuk melakukan apa-apa cabaran atau apa-apa sahaja yang meragukan untuk mengelakkan diri terjerumus dalam kekufuran.

Untuk baca artikel lain berkenaan Lathi Challenge, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca