Kerajaan Malaysia telah mengumumkan pengharaman merokok di restoran, pastinya pengumuman tersebut tidak disenangi oleh para perokok. Ramai yang ingin mencabar pelaksanaan tersebut dari segi undang-undang dan ada juga dakwaan seolah-olah kerajaan ‘membuli’ para perokok kerana tidak membenarkan mereka merokok di restoran.
Terdapat beberapa pemilik restoran yang tidak senang duduk dengan tindakan tersebut kerana mereka beranggapan tindakan itu telah menjejaskan keuntungan mereka. Hal ini kerana, mereka beranggapan bahawa akan berlaku kekurangan pengunjung yang datang melepak di restoran mereka selepas pelaksanaan larangan merokok berkuatkuasa pada awal tahun ini.
Manakala berlainan pula pandangan ibu bapa yang sering membawa anak-anak mereka berkunjung atau makan di restoran kerana mereka lebih selesa untuk menjamu selera tanpa perlu memikirkan asap rokok yang mungkin dihidu oleh anak mereka. Larangan merokok sangat disokong oleh ibu bapa.
Undang-undang ini masih baru bagi rakyat Malaysia. Tetapi, negara lain sudah banyak mangharamkan merokok di tempat awam seperti United Kingdom (UK) yang sebenarnya sudah diperkenalkan sejak 12 tahun yang lalu. Kali ini, kami kongsikan perubahan yang berlaku selepas UK memperkenalkan undang-undang ini.
1. Jumlah Perokok Dimasukkan Ke Hospital Semakin Berkurang
Mengikut statistik, jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung dan asma disebabkan oleh asap rokok semakin berkurang berbanding sebelum undang-undang ini dilaksanakan. Pada tahun pertama undang-undang ini diperkenalkan iaitu pada tahun 2007, didapati terdapat pengurangan sebanyak 2.4% pesakit yang dibawa masuk ke Jabatan Kecemasan di hospital.
Mungkin anda lihat peratus tersebut nampak kecil tetapi ia sebenarnya bersamaan 1200 kes berkaitan rokok yang dapat dikurangkan diseluruh negara. Manakala di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia perlu membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun hanya untuk merawat penyakit yang berkaitan dengan rokok.
Cuba anda bayangkan berapa banyak wang yang dapat dijimatkan sekiranya kadar kes penyakit berkaitan rokok ini dapat dikurangkan dalam negara kita.
2. Ramai Perokok Berhenti Merokok
Di UK, berlaku peningkatan yang mendadak terhadap jumlah perokok yang mengambil keputusan untuk berhenti merokok selepas undang-undang tersebut diperkenalkan.
Kita sedia maklum bahawa rokok akan memberi kesan buruk kepada kesihatan tubuh banda anda dan pengharaman ini sememangnya dapat membantu perokok untuk tidak merokok tanpa mengira masa dan tempat. Orang yang berada disekeliling juga akan berasa selasa dan tidak mudah mendapat penyakit disebabkan oleh asap rokok.
Sejak undang-undang ini dilaksanakan, jumlah perokok semakin berkurang dari tahun ke tahun. Manakala, jumlah perokok muda di bawah umur 16 tahun juga semakin berkurang hampir separuh iaitu sebanyak 3% sejak tahun 2007.
3. Pengurangan Jumlah Perokok Muda Semakin Berkurang
Di UK, pengharaman merokok ini telah membuatkan mesin layan diri untuk membeli rokok telah ditutup atau sudah tidak wujud lagi. Hal ini kerana, para remaja bawah umur kebiasaannya membeli rokok daripada mesin tersebut memandangkan mereka tidak dibenarkan membeli rokok di kedai.
Namun kini, had umur perokok di UK telah dinaikkan ke umur 18 tahun kerana sebelum ini had umur bagi perokok adalah 16 tahun. Peningkatan cukai terhadap rokok juga menjadi salah satu cara untuk mengurangkan orang muda atau remaja untuk merokok kerana harga rokok yang mahal.
Jadi, adakah perokok di Malaysia mampu mengubahmya setanding dengan apa yang telah dilakukan di UK? Oleh itu, apa pendapat anda tentang perkara ini?
Sumber: Daily Star dan Iluminasi