Lanjutan PKP Disebabkan Sikap Rakyat Malaysia

Tidak dinafikan tahap kepatuhan rakyat Malaysia kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah mencapai 97 peratus, namun bukan peratusan itu yang dimahukan kerajaan untuk menjayakan usaha memutuskan rantaian jangkitan koronavirus (COVID-19).

Apa yang dimahukan oleh kerajaan adalah pematuhan 100 peratus. Sebanyak 649 individu yang ditahan pada Sabtu di seluruh negara menggambarkan masih ada kalangan rakyat yang ingkar dengan PKP dan memandang ringan ancaman maut COVID-19.

Ada antara mereka yang diperiksa dan ditahan ketika melepak di warung kopi, tempat-tempat awam dan bahkan lebih teruk melanggar sekatan jalan raya PKP yang dijalankan. Keluar membeli makanan adalah antara alasan yang diberikan. Tetapi perlukah sampai keluar empat kali membeli makanan? Apa sudah jadi?

Walaupun tempoh dua minggu pertama PKP akan berakhir esok (Selasa), masih ada dua minggu lagi untuk rakyat Malaysia memperbaiki ‘angka pematuhan’ perintah PKP dan bersama kerajaan memerangi wabak ini. Jadi teruskanlah bantu kerajaan dengan cara mendisiplinkan diri, ‘duduk di rumah’ dan hanya keluar bila perlu sahaja.

Selain PKP, usaha serius dan berterusan kerajaan melaksanakan proses nyah cemar sememangnya wajar dipuji dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 kerana sehingga petang semalam 150 kes baharu dicatatkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 2,470 dengan jumlah kematian sebanyak 35 kes.

Tidak dilupakan juga semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika meninjau sebuah pasar raya di ibu kota melahirkan rasa syukur dan lega kerana orang ramai semakin peka terhadap saranan kerajaan berhubung pematuhan jarakan sosial sepanjang tempoh PKP ini.

Apa yang menariknya, hantaran tersebut menerima komen positif daripada rakyat yang memuji Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang mengotakan apa dikatakan, iaitu hanya ketua keluarga dibenarkan keluar sekiranya perlu mendapatkan barang keperluan di rumah khususnya barangan makanan.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan PKP, klik pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca