Setiap selebriti mempunyai kisah hidup mereka yang tersendiri sebelum menjadi terkenal. Begitu juga dengan selebriti-selebriti ini yang mendedahkan bahawa mereka pernah bekerja di restoran rangkaian makanan segera McDonald’s suatu ketika dahulu sebelum nama mereka dikenali ramai.

Ada segelintir daripada mereka yang mengatakan bahawa pekerjaan mereka itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Namun begitu, ada juga sesetengah yang langsung tidak malu, malah sangat berbangga yang mereka pernah menjadi pekerja suruhan di McDonald’s. Menurut mereka, di situlah mereka belajar nilai-nilai yang tidak boleh dipelajari di sekolah mahupun universiti.

Berikut kami kongsikan 7 selebriti yang pernah bekerja di McDonald’s:

1. Rachel McAdams

Sebelum bergelar pelakon, Rachel menjalani kehidupan seperti manusia biasa di sebuah bandar kecil. Bagi menyara kehidupannya, dia bekerja di McDonald’s selama 3 tahun.

Menurut Rachel, dia sendiri tidak mengerti kenapa mereka masih mengekalkannya bekerja di situ kerana dia merupakan seorang yang kuat berangan dan suka melengah-lengahkan kerja.

Oleh sebab itu, mereka hanya membenarkan Rachel menjadi pekerja yang mengucapkan “Selamat Datang” kepada para pelanggan yang melangkah masuk ke restoran berkenaan.

2. James Franco

Ibu bapa James memaksanya untuk mencari pekerjaan setelah dia berhenti belajar di kolej. Akhirnya, James berjaya memenuhi hasrat ibu bapanya itu apabila dia diterima bekerja di McDonald’s. Pada mulanya, dia bekerja syif lewat malam di kaunter pandu lalu. Tidak lama selepas itu, dia dipindahkan ke kaunter depan pada waktu siang.

“Apa yang saya tahu, ketika saya memerlukan McDonald’s, McDonald’s berada di situ untuk saya. Sewaktu orang lain tidak,” tulisnya dalam sebuah artikel untuk The Washington Post.

3. Pink

Penyanyi terkenal ini yang juga pernah bekerja di Pizza Hut dan Wendy’s mengatakan bahawa pengalamannya bekerja di McDonald’s sangat teruk.

“Kadang-kadang saya bermimpi yang saya kembali ke sana, pokai dan bekerja di McDonald’s. Ia seolah-olah mimpi paling buruk kerana saya tak mahu lagi kembali ke sana,” katanya.

4. Pharrell Williams

Penyanyi yang terkenal dengan lagunya yang berjudul ‘Happy’ itu sememangnya tidak begitu ‘happy’ ketika dia bekerja di McDonald’s bagi menyara kehidupannya. Dia juga pernah dipecat sebanyak 3 kali gara-gara pemalas.

“Dulu saya pemalas, sangat pemalas,” katanya menerusi program Late Night With Seth Meyers.

Sesungguhnya, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Siapa sangka, beberapa tahun kemudian, Pharrell merupakan penulis lirik bersama bagi lagu iklan McDonald’s yang popular di serata dunia iaitu ‘I’m Lovin’ It’.

5. Sharon Stone

Sharon pernah bekerja di McDonald’s secara sambilan sebelum dia dilamar menjadi model Ford dan membintangi filem Total Recall serta Basic Instinct.

6. Seal

Sama seperti Pink, Seal juga mendedahkan bahawa dia sangat membenci pekerjaannya di McDonald’s. Malah, bekas suami supermodel, Heidi Klum ini mengatakan bahawa pekerjaan paling teruk yang pernah dia buat adalah ketika bekerja di McDonald’s cawangan Kentish Town, England.

“Ketika itu usia saya 16 tahun dan mereka memberikan saya uniform yang terlalu kecil,” katanya.

“Saya hanya kekal selama 2 minggu sampailah saya dapat gaji pertama dan saya terus berhenti kerja,” ujarnya lagi.

7. Shania Twain

Pada zaman remajanya, penyanyi popular ini pernah bekerja di McDonald’s cawangan Ontario, Kanada. Sebaik sahaja selesai dengan pekerjaannya, dia akan berkunjung ke bar untuk berlatih menyanyi. Nampaknya, kegigihan Shania tidak sia-sia. Kini, dia telah dikenali ramai.

Begitulah kisah selebriti-selebriti ini yang pernah bekerja di McDonald’s sebelum menjadi popular. Agaknya, pasti mereka semua tidak sangka yang diri mereka dahulu sekadar menjadi pekerja suruhan kini menjadi kegilaan semua peminat.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda