Pelakon dan penyanyi yang kini sedang menempa nama dalam industri hiburan tanah air, Alvin Chong telah mempelawa teman baiknya yang juga merupakan pelakon terkenal iaitu Emma Maembong untuk tampil dalam video muzik single terbaharunya yang berjudul Tak Terganti.
View this post on InstagramA post shared by Alvin Chong (@alvinchong123) on
Tanpa mendengar lagu dan membangkitkan soal bayaran, Emma atau nama sebenarnya Fatimah bersetuju untuk muncul dalam klip video arahan Jeremy Lai itu.
Namun begitu, para peminat perlu menunggu sehingga hari Isnin ini untuk menonton video muzik berkenaan di mana ia akan dimuat naik di saluran YouTube AlvinChongVevo.

Menurut Alvin, ingatannya terus melayang kepada Emma semasa memikirkan soal model wanita yang mahu dipaparkan dalam klip video berkenaan.
“Emma paling sesuai. Namun, dalam hati berdetik, apakah dia sudi bekerjasama,” cerita Alvin.
“Saya beranikan diri bertanya. Tanpa diduga, Emma setuju. Dia tak cakap banyak apatah lagi bertanya soal bayaran.”
“Emma teruja kerana tidak pernah beraksi dalam video muzik. Emma beritahu sesibuk mana pun, dia sanggup buat apa sahaja untuk saya,” katanya.
Untuk rekod, Tak Terganti merupakan lagu ciptaan Ariadinata yang juga merupakan vokalis kumpulan Samson dari Indonesia.
Single yang dilancarkan pada 17 Januari lalu itu turut melatari drama siaran Astro berjudul Tolong Sempurnakan Cinta Mami lakonan Alvin sendiri.

Memetik laporan Berita Harian, Alvin yang melancarkan video muzik lagu berkenaan di pejabat Universal Music di Petaling Jaya, semalam, yakin bahawa Emma melakukan semua itu demi persahabatan mereka.
“Emma sangat menyenangkan. Kami serasi sebagai teman gandingan dalam drama dan di luar. Emma banyak memperkenalkan saya kepada media.”
“Malah, saya baik dengan adik-beradik Emma,” ujar Alvin.
Mengulas lanjut mengenai single Tak Terganti, lagu itu menceritakan tentang insan penting yang tiada galang ganti dalam hidup.
“Saya pernah hilang saudara sendiri. Lagu ini saya tujukan buat peminat,” katanya.
Sementara itu, Alvin juga sudah mempunyai kelab peminat rasmi yang diberi gelaran Alvinators.
“Peminat sudah boleh mendapatkan barangan eksklusif di laman web www.alvinchongofficial.com.”
“Setiap pembelian kemeja-T bundle bernilai RM78 melayakkan mereka menerima keahlian kelab selama setahun secara percuma,” katanya.
Untuk baca artikel lain berkenaan selebriti negara kita, anda boleh klik pada pautan di bawah: