Langgar Perintah Berkurung Untuk Main ‘Pokémon GO’, Lelaki Ini Disaman RM5,000

Seorang lelaki di Australia akhirnya menerima padah apabila dia disaman oleh pihak berkuasa gara-gara didapati melanggar perintah berkurung dengan melakukan perjalanan ke luar kawasan untuk bermain ‘Pokémon GO’.

Pada mulanya, lelaki itu dilaporkan disoal siasat oleh pihak polis yang musykil mengapa dia boleh berada 14 kilometer dari kawasan rumahnya yang terletak di Sunshine.

Dia kemudiannya mengaku bahawa dia melanggar perintah berkurung semata-mata untuk bermain permainan telefon pintar itu. Akibat daripada perbuatannya itu, dia telah didenda sebanyak RM5,000.

Sumber: Niantic

Untuk rekod, lelaki berkenaan bukanlah orang pertama yang disaman oleh pihak berkuasa gara-gara bermain Pokémon GO. Sebelum ini, terdapat dua orang lelaki di mana masing-masing didenda selepas didapati berkeliaran di sekitar Melbourne untuk bermain permainan yang sama.

Memetik laporan media tempatan, polis Victoria dan pihak berkuasa kerajaan negeri berasa sangat kecewa dengan sikap segelintir individu yang masih keras kepala dan tetap melanggar perintah berkurung yang ditetapkan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 yang setakat ini telah meragut lebih 705,000 nyawa di seluruh dunia.

Dalam pada itu, polis Melbourne telah mengeluarkan 26 saman semasa pemeriksaan kenderaan dijalankan. Kesemua saman itu dikeluarkan kepada mereka yang melanggar arahan Ketua Kesihatan. Sementara itu, 18 saman lagi dikeluarkan kepada mereka yang tidak memakai pelitup muka.

Melbourne kini memasuki perintah berkurung tahap empat di mana orang ramai tidak dibenarkan keluar lebih dari lima kilometer dari kawasan rumah mereka.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca