Lamunan Melampau Boleh Menjadi Gangguan Mental

Sejak kecil, kita sudah terbiasa menggunakan daya imaginasi yang tinggi dalam kehidupan seharian.

Boleh dikatakan, berangan itu merupakan satu perkara yang normal terhadap semua orang.

Akan tetapi, masih ramai yang belum sedar tentang kewujudan sebuah kondisi mental yang bernama maladaptive daydreaming.

Maladaptive daydreaming merupakan sebuah kondisi yang membuat seseorang itu mengelamun secara berlebihan dengan kerap sehingga dapat mengalihkan perhatian dari dunia sebenar.

Berbeza dengan lamunan biasa yang cuma berlaku di dalam minda kita, fenomena ini menyebabkan mereka berasa seperti berada di dalam dunia lain.

Sesetengah orang mungkin menganggap bahawa fenomena ini ialah perkara biasa.

Meskipun begitu, maladaptive daydreaming ini mampu untuk mengganggu aktiviti-aktiviti harian manusia.

Hal ini kerana secara purata, seseorang yang mengalami kondisi ini boleh menghabiskan masa untuk berangan, selama empat jam.

Salah satu punca yang menyebabkan kondisi ini berlaku adalah sebagai cara untuk mengatasi trauma masa lalu.

Segelintir orang yang mengalami trauma atau depresi yang melampau akan menggunakan imaginasi mereka untuk melarikan diri atau mengalihkan perhatian daripada dunia realiti.

Simptom-simptom maladaptive daydreaming

Berikut adalah simptom-simptom bagi maladaptive daydreaming, tetapi penghidap kondisi ini tidak semestinya akan mengalami kesemua tanda-tanda ini.

Mereka akan mengalami lamunan yang terasa amat jelas dan mengasyikkan.

Gambaran lamunan mereka juga dikatakan kelihatan seperti filem yang mempunyai karakter, latar belakang, serta plot tersendiri.

Penghidap maladaptive daydreaming ini juga menghadapi lamunan yang terlampau lama kerana kesulitan untuk menyedarkan diri mereka sendiri.

Berikutan daripada itu, aktiviti-aktiviti harian mereka akan tergendala.

Gangguan tidur atau insomnia juga merupakan perkara yang biasa terhadap mereka.

Ketika mengalami lamunan yang melampau, penghidap kondisi ini akan melakukan sesuatu tanpa sedar seperti berbisik dan bercakap serta menzahirkan ekspresi muka.

Rawatan maladaptive daydreaming

Walaupun maladaptive daydreaming ini masih belum mempunyai rawatan yang khusus, tetapi masih ada cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut.

Salah satunya adalah dengan mengenalpasti punca-punca yang boleh mencetuskan lamunan mereka seperti bunyi atau bau.

Melalui ini, mereka dapat mengelakkan diri mereka daripada situasi-situasi tersebut.

Penghidap kondisi ini juga masih boleh melalui rawatan terapi dan ubat-ubatan akan diberikan jika kondisi mereka terlalu teruk.

Pada dasarnya, berangan dan mengelamun sememangnya kelihatan seperti perkara yang normal.

Biarpun begitu, jika perkara ini dapat mengganggu aktiviti seharian, anda amat disarankan untuk bertemu dengan ahli yang lebih pakar.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca