Lambakan Hartanah Tidak Terjual, Had Bagi Warga Asing Untuk Beli Kondominium Diturunkan Dalam #Belanjawan2020

Bagi mengatasi lambakan hartanah yang tidak terjual, nilai ambang bagi warga asing untuk membeli kondominium dan pangsapuri di negara ini telah dikurangkan daripada RM1 juta kepada RM600,000. Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat.

Menurut Guan Eng, lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual di seluruh negara dianggarkan berjumlah RM8.3 bilion pada suku kedua tahun 2019.

Pada September lepas, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin telah mencadangkan penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah yang tidak terjual.

Menurut Zuraida lagi, kerajaan dapat mencairkan keadaan ekonomi negara dan membuka lebih peluang kepada pemaju untuk merancakkan projek pembangunan perumahan mampu milik di negara ini.

Antara pengumuman lain yang berkaitan dengan pemilikan rumah pada pembentangan Belanjawan 2020 ialah pengenalan Skim Pembiayaan Sewa Untuk Memiliki atau Rent To Own, dengan bertujuan untuk membantu pembeli rumah yang tidak mampu membayar deposit 10 peratus dan sukar untuk mendapatkan akses pembiayaan.

Skim ini akan diperkenalkan secara usahasama dengan institusi kewangan, di mana pembiayaan sebanyak RM10 bilion akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion.

Skim Perumahan Belia yang bertujuan untuk membantu golongan belia memiliki rumah pertama akan dilanjutkan mulai 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2021. Skim ini dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

Jaminan pinjaman sebanyak 10 peratus juga ditawarkan untuk membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh dan bantuan ansuran bulanan sebanyak RM200 sebulan untuk dua dua tahun pertama. Walau bagaimanapun, ia terhad kepada 10 ribu unit rumah.

Selain itu, keadaan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana yang tidak diselenggara dengan baik turut mendapat perhatian kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk membaiki perumahan berkenaan.

Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk inisiatif Bandar Selamat dan akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyediakan program keselamatan seperti lampu lampu jalan, kawasan parkir motosikal dengan ciri keselamatan dan pagar anti-panjat.

Artikel Lain Untuk Di Baca