Perjalanan menggunakan kereta api sering dianggap sebagai salah satu cara yang paling selamat, tetapi tahukah anda kadang-kadang ia juga boleh membahayakan? Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada landasan serta kedudukan jambatan kereta api tersebut.
Hari ini, kami kongsikan 5 laluan kereta api yang paling berbahaya di dunia. Antaranya adalah:
1. Chennai-Rameswaram Route – India
Menyambungkan 2 bandar di India iaitu Chennai dan Rameswaram adalah laluan kereta api yang di atas jambatan sepanjang 2.3 kilometer. Laluan kereta api ini melintas secara langsung di atas Lautan Hindi. Jambatan ini boleh dipisahkan bagi membenarkan kapal melaluinya. Kereta api yang mengikuti laluan ini berisiko tinggi kerana kehadiran angin kuat yang boleh menyebabkannya jatuh ke dalam laut dengan mudah.
Pada tahun 1964, 150 penumpang terbunuh selepas lonjakan ribut 7.7 meter yang melanda kereta api di kawasan ini. Jambatan Pamban juga merupakan jambatan kereta api yang paling berbahaya di dunia.
2. Death Railway – Myanmar
Laluan kereta api Death Railway dibina dengan titik peluh dan darah tawanan perang dan pekerja tempatan semasa Perang Dunia Kedua di bawah Empayar Jepun. Ia menghubungkan antara Bangkok, Thailand ke Rangoon, Myanmar.
Ia sering digelarkan sebagai salah satu laluan kereta api yang paling berbahaya di dunia. Ia juga dikenali sebagai kereta api Myanmar atau kereta api Thai-Myanmar.
Lebih daripada 12,000 tahanan tentera Allied dan 90,000 buruh awam mati ketika membina laluan melalui bentuk muka bumi yang teruk dan keadaan kerja yang kurang baik. The Hellfire Pass, kawasan pada laluan ini adalah yang paling sukar untuk dibina. Ia sangat terpencil dan buruh tidak mempunyai alat binaan yang baik untuk membinanya pada ketika itu.
3. Minamiaso Route – Jepun
Laluan Minamiaso dibina di sekitar Gunung Aso yang merupakan gunung berapi paling aktif di Jepun. Semasa menaiki kereta api ini, penumpang biasanya dapat melihat pembakaran lava dari jarak jauh.
Tiada siapa yang tahu bila gunung berapi ini akan meletus dan jika ia meletus, maka laluan kereta api ini akan hancur lebur. Pada tahun 1928, keseluruhan laluan kereta api dibuka kepada orang ramai. Dalam kejadian gempa bumi Kumamoto pada tahun 2016, jambatan kereta api ini rosak teruk.
Sejak itu jambatan itu menjadi rapuh dan tidak kukuh. Selepas gempa bumi, penggunaan laluan kereta api ini telah berkurangan.
4. White Pass dan Yukon Route – Amerika Syarikat
White Pass dan Yukon Route adalah laluan kereta api sejauh 177 kilometer, yang dibina untuk menghubungkan Alaska dan Kanada. Para penggembara yang gemar melakukan sesuatu yang ekstrem, mereka akan menggunakan laluan ini untuk mencuba keberanian mereka kerana laluan itu mempunyai belokan dan latar belakang yang sangat berbahaya.
Beberapa jambatan di laluan ini mencapai ketinggian hampir 1,000 meter. Walaupun perjalanan kereta api menawarkan pemandangan lanskap Alaska-Kanada yang indah, namun beberapa ciri-ciri laluan ini boleh membawa maut.
Pada tahun 2006, kemalangan serius telah berlaku dan menyebabkan kematian seorang pekerja. Sekali lagi pada 2014, kereta api ini tergelincir dan telah menyebabkan kecederaan kepada 19 penumpang dan 4 pekerja kereta api. Terowong sempit dan gelap menjadikan laluan ini lebih menakutkan.
5. Kuranda Scenic Railway – Australia
Laluan Kuranda Scenic Railway menghubungkan Cairns dan Kuranda di Queensland dan terkenal dengan pemandangan yang indah, namun kereta api ini juga terkenal dengan laluannya yang bahaya.
Laluan sepanjang 37 kilometer ini melalui 15 terowong, 93 selekoh tajam dan lebih daripada 40 jambatan yang melepasi tebing dan air terjun. Lebih menarik, air terjun di sekeliling akan menyemburkan kepada penumpang yang melaluinya.
Kebanyakan penumpang telah melaporkan bahawa mereka agak tidak selesa dengan perjalanan ini. Jambatan di tebing agak curam dan menyebabkan laluan tersebut berbahaya.
Pembinaan laluan ini bermula pada tahun 1886 dan siap pada tahun 1891. Operasi bermula pada tahun yang sama iaitu pada 25 Jun 1891. Pada tahun 2010, tanah runtuh telah berlaku dan menyebabkan kereta api tergelincir. Hal ini telah menyebabkan 5 orang penumpang tercedera.
Jadi, berani tak anda mencuba menaiki kereta api ini?