Lagu Ciptaannya Jadi Bahan Rujukan Kertas Model SPM, Ini Respons Yonnyboii

Nama penyanyi rap meningkat naik, Yonnyboii menjadi bualan ramai baru-baru ini selepas lirik lagu kolaborasi beliau bersama Zynakal iaitu Sakit dijadikan bahan rujukan kertas model Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Memetik laporan Kosmo, Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata ia merupakan salah satu daripada impiannya untuk melihat karya muziknya dihargai masyarakat namun tidak pernah terfikir sampai tahap menjadi bahan atau rujukan soalan peperiksaan bertaraf kebangsaan.

Sumber: Instagram @yonnyboii

“Saya ada tengok hantaran itu dalam media sosial dan sudah tentu saya rasa bangga. Tidak pasti untuk subjek apa tetapi rasa macam mimpi jadi kenyataan.

Dulu waktu di bangku sekolah, saya selalu terfikir kalau suatu hari nanti, saya nak tulis lagu yang boleh buat orang nyanyi di perhimpunan pagi di sekolah atau di kem-kem motivasi.

Sekarang lagu saya ada dalam kertas soalan model SPM. Bukan nak terlebih bangga atau riak tapi ini juga bukti kalau kita buat apa yang kita suka dalam hidup, pasti ada ganjaran atau kejayaan menanti di hujungnya,” ujarnya.

Penyanyi rap itu turut menyatakan lagu Sakit secara tidak langsung mendorong semua orang terutamanya golongan pelajar untuk lebih peka dengan kesihatan mental mereka.

Dalam pada itu, penyanyi Salahku itu turut berbesar hati sekiranya ada pihak yang menemui harga dan nilai tersembunyi dalam lagu kolaborasinya bersama Zynakal.

Menurut Yonnyboii lagi, “Orang jadikan lagu tulisan kita bahan model SPM untuk dikaji atau dijawab para pelajar. Itu bermakna ada harga dan nilai tersembunyi dalam lagu tersebut.”

Sumber: Instagram @malaysianhustler

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun @malaysianhustler di laman Instagram, lagu Sakit digunakan sebagai salah satu medium pembelajaran di mana pelajar perlu menjawab soalan-soalan berdasarkan liriknya.

Posting itu turut mencuri perhatian pencipta bersama lagu berkenaan iaitu Zynakal yang turut kagum dengan perkara tersebut.

Sumber: Instagram @malaysianhustler

Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan industri hiburan tanah air, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca